Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengundi Lembah Pantai dipindah tanpa pengetahuan

Sebuah keluarga seramai empat orang terkejut apabila mengetahui alamat mengundi mereka dipindahkan dari Lembah Pantai di Kuala Lumpur ke Sekinchan di Selangor, walaupun mereka tidak pernah memohon pemindahan tersebut.

Mereka hanya sedar perubahan itu apabila diberitahu oleh kakitangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lembah Pantai bulan lalu.

Keluarga terbabit yang meminta kerahsiaan nama bagi melindungi identiti mereka menjelaskan mereka tidak pernah memohon untuk mengubah alamat meskipun hal yang sebaliknya ditunjukkan semakan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kami tidak tahu apa yang terjadi.

"Tiada sesiapapun daripada SPR menghubungi kami mengenai perkara ini," kata salah seorang daripada keluarga terbabit dalam sidang akhbar yang diatur Ketua Pemuda PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil hari ini.

Dari Lembah Pantai ke Sekinchan

Berdasarkan laman web SPR, permohonan keempat pengundi tersebut untuk mengubah alamat mereka dari Lembah Pantai ke Sekinchan, Sungai Besar 'sedang diproses' kerana bantahan yang difailkan terhadap permohonan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim sebelum ini membantah tambahan 1,600 orang 'pengundi hantu' ke kawasan beliau, khususnya ke sebuah perkampungan Melayu yang terletak di Sungai Leman.

Para pemberita pernah ditunjukkan daftar pemilih untuk Sungai Leman yang bertarikh 25 April tahun lalu. Daftar pemilih itu mengandungi nama empat orang sekeluarga tersebut.

Fahmi berkata keluarga terbabit telah menjadi 'pengundi hantu' yang pernah disebut Ng.

Fahmi telah membuat laporan polis bagi pihak keluarga terbabit di balai polis Pantai. Malaysiakini telah meneliti laporan polis itu.

Malaysiakini juga telah menghubungi Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah bagi mendapatkan maklum balas.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS