Seorang pemimpin MIC mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung gambar beliau bersama ahli perniagaan yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Bendahari MIC, S Vell Paari mendakwa, ahli perniagaan berkenaan terkenal di kalangan masyarakat India kerana didakwa terlibat dalam kes penipuan atau scam yang dikenali sebagai "VenusFX forex".

"Suspek itu terlibat dalam kes di mana ramai kaum India Malaysia ditipu wang dan tabungan mereka, di mana (bekas bendahari) R Ramanan dan saya secara peribadi mendedahkannya kurang dua tahun lalu.

"Oleh itu, ramai individu yang sudah biasa dengan suspek beritahu saya bahawa gambar Ketua Menteri Pulau Pinang dengan suspek memang diambil di rumah mewah milik suspek," kata Vell dalam satu kenyataan hari ini.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang mengaitkan usaha mengaitkan Lim dengan ahli perniagaan itu sebagai percubaan "menjijikkan" untuk mencemarkan nama beliau.

Ini sebagai respon kepada timbalan pengarah komunikasi strategik BN, Eric See-To, yang meminta Lim mengesahkan foto yang tersebar yang menunjukkan ketua menteri itu bergambar di sebelah ahli perniagaan berkenaan.

Pejabat ketua menteri itu juga menegaskan Lim bergambar dengan ramai orang.

Vell: Saman saya

Vell berkata Lim perlu menjelaskan kepada masyarakat India mengenai hubungannya dengan individu terbabit yang telah menipu kaum India pada masa lalu.

"DAP dan ketua menteri mesti beritahu kami bila dan mengapa dia melawat rumah suspek. Apa urusan atau perniagaan yang dia lakukan dengan suspek SPRM ini?

"Sekiranya foto itu bukan di rumah suspek, yang mana saya betul, ketua menteri Pulau Pinang dan DAP dialu-alukan menyaman saya," katanya.

SPRM sedang menyiasat suspek kerana didakwa mengambil wang dari kontraktor terowong dasar laut di Pulau Pinang, Consortium Zenith Sdn Bhd.

Kes itu timbul selepas Zenith menghantar surat tuntutan terhadap ahli perniagaan berkenaan dan individu lain berhubung perjanjian projek terbabit.

Zenith pada mulanya turut menghantar surat tuntutan kepada anggota Parlimen Umno Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim, tetapi akhirnya menarik balik surat berkenaan.

Sementara itu, Lim menghantar surat kepada Zenith bagi menuntut penjelasan mengenai urusan meragukan antara kedua-dua mereka.