Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Agenda belia akan menjadi satu daripada tema utama dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam agenda belia itu adalah isu perumahan, peluang pekerjaan dan penglibatan belia dalam menyelesaikan pelbagai isu.

"Saya amat teruja apabila Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyarankannya dalam manifesto PRU akan datang...selain manifesto BN jadi agenda utama, saya bersetuju adanya segmen penting untuk belia,” katanya semasa berucap merasmikan majlis Makan Malam Sanjungan Kasih Alumni 4B Negeri Pulau Pinang di sini, malam ini..

Ahmad Zahid berkata sebagai pengerusi bagi penyediaan manifesto BN, beliau akan memastikan segmen belia menjadi satu daripada tema utama dalam manifesto PRU14 sebagai tanda komitmen BN kepada belia.

Beliau berkata generasi belia masa kini adalah berbeza dengan generasi sebelumnya kerana mereka lebih terdedah kepada saluran komunikasi seperti media sosial.

Justeru itu, Ahmad Zahid mahu Alumni 4B meneruskan kesinambungan dengan merapatkan jurang perbezaan persepsi dan pemikiran dengan generasi masa kini.

Beliau berkata apabila berlaku jurang persepsi, generasi masa kini sering menganggap generasi alumni sebagai tidak relevan.

"Alumni 4B perlu merelevankan pemikiran dengan kaedah dan cara pemikiran mereka. Berita, ilmu dan membuat keputusan turut berubah. Persatuan belia harus bergerak di dalam sebuah wadah yang lebih relevan dengan situasi semasa biarpun kita masih mengekalkan nilai-nilai tradisional.

"Kesinambungan yang saya harapkan agar jurang tidak terlalu luas antara kita dengan generasi kini," katanya.

Beliau berkata Alumni 4B juga perlu memainkan peranan sebagai pemandu arah untuk generasi belia masa kini selain memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada mereka untuk terus bergerak cergas dalam sesebuah organisasi.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS