Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Dalam kempennya memenangi sokongan di kawasan Melayu di Johor, Pakatan Harapan (HARAPAN) telah menjadikan Timbalan Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan sebagai 'mangsanya'.

Ia berlaku dalam program minum petang bersama pengundi tempatan di ibu pejabat Parti Amanah Negara (AMANAH) di Ayer Baloi, Pontian semalam, yang disertai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin HARAPAN negeri yang lain. 

Antara topik yang dibicarakan adalah GST, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, skandal 1MDB, tetapi sindiran terhadap Ahmad Maslan yang mendapat sambutan paling hangat mereka yang hadir.

Ahmad (gambar) yang juga Anggota Parlimen Pontian pernah menjadi timbalan menteri kewangan. Ketika itu, beliau kerap diperlecehkan kerana memuji GST dan menggesa rakyat melakukan dua kerja bagi mendepani kenaikan kos sara hidup.

Pengerusi BERSATU Pontian Zulkefly Tasrep membuka langkah ketika memberikan ucapan alu-aluannya. Kebanyakan isi ucapan diisi sindiran terhadap Ahmad.

"Sekarang anda di pekan Ayer Baloi, dalam kawasan Parlimen yang terkenal di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Wakil rakyatnya begitu popular dan timbalan menteri BN yang selalu mengeluarkan kenyataan," katanya mencetuskan ketawa hadirin, sebelum menambah, "saya tidak menyebut namanya".

"Adakala apabila wakil rakyat kita membuat kenyataan, ada anak-anak kelahiran Pontian yang bekerja di luar tidak mengaku berasal di sini kerana malu (dengan Ahmad Maslan)."

Beliau berkata penduduk Pontian tidak mengalu-alukan Ahmad Maslan dan memberikan dua contoh bagi menyokong hujahnya.

"Ketika Ahmad merasmikan jambatan, hanya empat orang yang datang. Namun beliau tetap arahkan khemah dibuka.

"Ketika merasmikan surau di Jelutong Darat, hanya ada 30 orang; 25 adalah orangnya sendiri, dan hanya lima orang penduduk kampung (tempatan)," katanya lagi.

Beliau menggesa semua pihak agar berusaha lebih keras bagi mendapatkan sokongan pengundi di sana.

Menyusuli Zulkefly, Ketua AMANAH Johor Aminolhuda Hassan berkata penafian kerajaan sememangnya tidak boleh dipercayai, sama seperi dakwaan Ahmad bahawa GST akan menyebabkan harga barang menurun.

"Kalau seluruh dunia bercerita tentang 1MDB, termasuk Indonesia baru-baru ini, dan ia dilaporkan terang-terangan di televisyen dan majalah Tempo.

"Tetapi (kerajaan) Malaysia kata tak ada apa-apa, semua ini tipu.

"Sama seperti anggota parlimen di sini yang cakap GST akan menurunkan harga barang. Betulkah?" katanya sekali lagi disambut sorakan hadirin.

Muhyiddin juga mencetuskan gelak ketawa daripada hadirin ketika bercakap tentang Ahmad Maslan dan juga bagaimana Umno membela dasar-dasar Najib.

Antara yang turut berucap adlaah Najib Ketua PKR Johor Hassan Karim dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pekan Nenas dari DAP, Yeo Tung Siong.

Sejumlah 150 yang menghadiri program itu dan kebanyakannya ahli parti komponen HARAPAN.

Walaupun pembangkang berjaya menambahkan sokongan di Johor pada PRU ke-13, Ahmad mengekalkan kemenangannya di Pontian dengan majoriti besar iaitu 13,727 undi.

BN juga menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dan Pulai Sebatang dengan majoriti 6,527 dan 3,412 undi.

Lihat Komen
ADS