Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Orang tua' jawab ejekan dengan aksi di jalan raya
Diterbitkan:  Mar 18, 2018 8:42 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Dipersenda kerana dipertaruhkan sebagai calon perdana menteri ketujuh Malaysia ketika usianya bakal mencecah 93 tahun tidak lama lagi, hari ini Tun Dr Mahathir mempamerkan kemampuannya memandu dalam cuaca buruk.

Satu klip video pendek dimuat naik di media sosial petang itu menunjukkan pengerusi Pakatan Harapan itu memandu semasa hujan lebat dan petir.

Berdasarkan video itu Dr Mahathir dipercayai memandu sebuah kereta Porsche.

Ia dimuat naik bekas wartawan kanan dan penulis blog Firdaus Abdullah.

"Hujan atau ribut, perjalanan menebus maruah tanah air mesti diteruskan dengan cekal dan tabah.

"Jangan mudah menyerah kalah dengan pelbagai cabaran yang kunjung tiba.

"Perjuangan kita mesti diteruskan. Hanya kita yang boleh menyelamatkan Malaysia kita," kata keterangan yang mengiringi klip video seminit itu.

Dr Mahathir kemudian mengulang siar ciapan berkenaan.

Awal hari ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyindir Dr Mahathir yang dicalonkan HARAPAN sebagai bakal perdana menteri sebagai persiapan pembangkang menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Kata Ahmad Zahid, beliau akan bersara daripada politik sebelum berusia 93 tahun.

Kata-kata bernada sinis juga pernah diucapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang menganggap masa depan negara tidak wajar diletakkan pada tangan seorang pemimpin yang lanjut usia.

"Ada tak (negara yang pilih orang lanjut usia sebagai ketua kerajaan)? Tak ada... takkan kita nak jadi yang pertama di dunia (lantik orang berusia 93 tahun jadi ketua kerajaan)... kita ada pilihan.

"Kita fikir masa depan Malaysia, masa depan Malaysia bukan di tangan orang yang berusia 93 tahun tetapi masa depan Malaysia adalah di tangan kerajaan yang ada pada hari ini, insya-Allah," katanya dipetik BH pada 15 Mac lalu.

Dr Mahathir akan berusia 93 tahun pada Julai ini.

Sebahagian ibu negara dilanda hujan lebat, angin kencang dan petir pada lewat petang tadi.

Lihat Komen
ADS