MCA tidak akan dipandang hina jika parti itu meninggalkan kabinet ekoran prestasi buruk mereka pada pilihan raya umum (PRU) 2013 kata salah seorang bekas presidennya.

Menurut Tan Sri Dr Chua Soi Lek, jika MCA bertegas untuk tidak menyertai kerajaan BN mereka akan mempunyai lebih banyak ruang untuk bergerak mengatur strategi.

Kata bekas menteri kesihatan itu lagi jika keputusan untuk tidak menyertai kerajaan diambil pada waktu itu situasi politik MCA pada hari ini akan berbeza sama sekali.

"Kini rakyat menyalahkan MCA untuk semua masalahh kerana MCA adalah sebahagian daripada kerajaan.

"Inilah beban yang terpaksa kita tanggung,” katanya dipetik The Malaysian Insight hari ini.

MCA adalah parti masyarakat Cina terbesar dalam BN. Pada PRU ke-13 kira-kira lima tahun lalu parti itu mengalami kekalahan besar dan memalukan.

Semua tak berani bercakap

Daripada 37 kerusi parlimen yang ditandingi mereka hanya berjaya memenangi tujuh saja. Di peringkat dewan undangan negeri (DUN) pula MCA hanya menguasai 11 berbanding 90 yang dicalonkan.

Pada PRU sebelumnya (2008) MCA memenangi 15 kerusi parlimen dan 31 kerusi DUN.

Asalnya MCA enggan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sebagai sikap mengambil tanggungjawab atas prestasi hambar mereka pada 2013.

Bagaimanapun pada akhir tahun itu kerusi kepimpinan tertinggi MCA bertukar tangan apabila Dr Chua memilih untuk tidak bertanding dan jawatan presiden beralih kepada pencabarnya Datuk Seri Liow Tiong Lai semasa pemilihan dijalankan kemudian.

Di bawah Liow, MCA mengubah pendirian berkenaan dan mula menerima jawatan dalam kerajaan.

Kata Dr Chua serangan beberapa pihak ke atas hartawan terkenal Robert Kuok turut membuktikan MCA gagal menjuarai hal-hal berkaitan masyarakat Cina walaupun parti itu berada dalam kabinet.

"Pemimpin kanan MCA tidak berani bercakap mempertahankan Kuok, termasuk timbalan presidennya Datuk Seri Wee Ka Sing, walaupun pada ketika sama dia menyerang DAP dalam isu berkenaan," katanya.

Kuok berdepan dengan tuduhan memberikan dana kepada DAP. Ekoran itu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz meminta kewarganegaraan hartawan itu digugurkan.


Baca 'Mengapa Ka Chuan bodoh sangat?'


Menjawab pandangan Nazri, Liow berkata MCA akan mengambil tindakan ke atas Nazri namun kenyataan itu tidak dijelaskan dengan lebih lanjut.

Sebaliknya anggota Majlis Tertinggi Umno itu menggiatkan kenyataannya dengan menyasarkan MCA.

Dalam temu bual berkenaan Dr Chua turut mengkritik MCA kerana gagal berfungsi dalam isu semasa yang kritikal.

Keadaan itu katanya disebabkan parti berkenaan gagal menunjukkan keberanian atau kepintaran politik.

"Ini menyebabkan komuniti Cina tidak menghormati MCA.

"Kalau MCA tidak menyertai kabinet semula dulu, mungkin kita mempunyai lebih banyak kebebasan untuk menyatakan pandangan mengenai isu-isu semasa," katanya.

Untuk rekod pada November 2017 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu MCA parti itu mesti menunjukkan prestasi lebih baik pada PRU ke-14 dengan memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi parlimen.

Dengan itu kata Najib barulah MCA boleh menjustifikasi jumlah kedudukan mereka dalam kabinet.

[Baca berita penuh]