Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peguam Rosmah fail laporan polis terhadap video ‘cap kapak’
Diterbitkan:  Mar 19, 2018 1:42 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Satu laporan polis telah difailkan berhubung video di YouTube yang mendakwa isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor di belakang projek Felda, termasuk penternakan ikan Sturgeon.

Dalam satu kenyataan, peguam Rosmah, Noor Hajran Mohd Noor berkata beliau memfailkan laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pagi ini.

Video yang dipersoalkan itu dimuat naik oleh pemilik akaun dengan nama samaran “cap kapak” pada 7 Mac dengan tajuk "Mazlan Aliman pecah rahsia: Isteri Najib Razak di belakang projek ikan sturgeon yang lingkup.”

Mazlan adalah pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan juga ahli majlis tertinggi AMANAH.

Noor Hajran berkata Mazlan, dalam ucapannya, menuduh anak guamnya terlibat dalam beberapa projek yang dirancang dan dilaksanakan oleh Felda.

“Kenyataannya tersebut yang kononnya berdasarkan maklumat daripada seorang pegawai Felda adalah satu tuduhan dan fitnah jahat yang dibuat tanpa adanya sebarang bukti serta asas yang kukuh.

“Tuduhan sebegini telah menyebabkan terjadinya buruk sangka di kalangan netizen lantas menjejaskan reputasi dan integriti anak guam saya,” katanya.

Sehubungan itu, Noor Hajran selepas berbincang dengan Rosmah, dirinya diarahkan untuk memfailkan laporan polis mengenai video berkenaan.

“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi Mazlan untuk mendapatkan ulasannya dan masih menunggu jawapannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS