Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan rampasan Equanimity: Najib marah, kata duta
Diterbitkan:  Mar 19, 2018 2:12 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memaklumkan kepada majalah Tempo bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib "marah" dan "sangat kecewa" dengan laporan media berhubung penyitaan kapal pesiaran Equanimity.

"Perdana menteri marah mendengar cerita ini. Ini cerita yang tak betul. Dia kata, ‘saya sangat kecewa’,” katanya.

Zahrain ketika diwawancara oleh wartawan Tempo, Raymundus Rikang, Kurniawan, dan Mahardika Satria Hadi di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Selatan menegaskan kapal itu tidak ada kaitan dengan kerajaan Malaysia atau mana-mana rakyat Malaysia.

Zahrain, 62 juga dilaporkan banyak membantah tentang cara pemberitaan Tempo tentang 1MDB.

Dalam edisi awal Mac lalu, Tempo memaparkan skandal 1MDB di halaman depannya - dengan karikatur ahli perniagaan Jho Low di atas kapal Equanimity - dan memuatkan beberapa artikel, termasuk yang berjudul bertajuk ‘Lancar di luar, mandek di dalam’.

Majalah minggu ehwal semasa popular Indonesia itu melaporkan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia sejak tiga tahun yang lalu tidak menyaksikan sebarang tuduhan dikenakan terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara itu.

Pada 28 Februari lalu, Equanimity dirampas di Bali dalam operasi bersama yang membabitkan polis Indonesia dan agen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS.

DoJ mendakwa kapal bernilai AS$260 juta (RM1 bilion) itu dibeli oleh Low menggunakan duit yang digubah secara haram daripada 1MDB.

Pihak 1MDB dan kerajaan Malaysia konsisten menafikan Equanimity mempunyai kaitan dengan negara ini.

Selain itu, pihak berkuasa Amerika juga percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dilesapkan dari 1MDB dan digubah menerusi sistem kewangan AS bagi membeli pelbagai aset.

Najib menafikan sebarang salah laku berkaitan dengan 1MDB.

Pada wawancaranya dengan Tempo, Zahrain juga ditanya hubungan antara Najib dan Jho Low.

"Saya tidak tahu. Mungkin kenal, mungkin pernah berjumpa. Perdana menteri (Najib) selalu dikaitkan, padahal dia tidak terlibat dalam pengendalian 1MDB, " kata Zahrain.

Disoal siapa itu Jho Low dan di mana pengusaha kontroversi itu berada, berikut jawapannya.

“Saya kurang tahu, mungkin dia tukang atur, broker. Dia tidak bekerja dengan kerajaan Malaysia, perdana menteri, ataupun 1MDB.

“Tidak ada yang tahu (lokasi Jho Low). Mungkin dia berkeliling dunia. Sampai sekarang saya tidak mendengar Jho Low ditangkap,” katanya.

Zahrain juga disoal mengenai hubungan rapat anak tiri Najib, Riza Aziz dengan Jho Low.

“Itu kan anaknya perdana menteri, bukan perdana menteri,” jawapnya ringkas.

Lihat Komen
ADS