K'jaan kaji pelaksanaan cukai iklan Google, Facebook
PARLIMEN l Beberapa kajian sedang dijalankan kerajaan bagi mencari mekanisme baru dalam pelaksanakan percukaian terhadap iklan di Google dan Facebook, kata Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.
"Kajian ini adalah untuk menentukan sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan cukai tersebut.
"(Selain) langkah untuk memaksimumkan penggunaan cukai yang terbaik yang boleh digunakan dan impak daripada kajian tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di bawah Kementerian Kewangan hari ini di Parlimen.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan untuk mengenakan cukai itu akan diserahkan kepada Kabinet.
Cukai itu pertama kalinya dibangkitkan pada sesi dialog Majlis Makan Tengahari beliau bersama Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan pada Selasa lalu.
Langkah itu difikirkan wajar dengan mengambil kira perolehan yang dijana syarikat- syarikat berkenaan menerusi platform pengiklanan digital di negara ini.
Dalam pada itu, Johari berkata kerajaan juga sedang memantau kajian terhadap rangkaian perniagaan dalam talian bagi memastikan pelaksanaan cukai itu berkesan.
"Kerajaan juga memantau dengan teliti ke atas kajian rangkaian perniagaan dalam talian yang sedang dibuat oleh pihak Open Organization For Economic Corporation and Development berhubung pengenalan sistem cukai bagi ekonomi digital dan hasil-hasil yang lain," katanya lagi.

