'CUEPACS tak boleh jadi alat propaganda kerajaan'
Naib Pengerusi Biro Buruh DAP Amran Ahmad Nor menyatakan rasa terkilan beliau terhadap kenyataan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda yang didakwa menuduh pembangkang cuba menabur fitnah ke atas penjawat awam.
"Saya cukup terkilan dengan kenyataan Azih yang menuduh pembangkang cuba untuk menabur fitnah ke atas penjawat awam dan seolah-olah mencampuri urusan kerajaan serta mahu mengajak penjawat awam ke kancah politik.
"Pada masa yang sama, Biro Buruh DAP kecewa dengan tindakan Azih yang mempertahankan kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman sebelum ini agar menghargai kerajaan sedia ada," kata Amran dalam suatu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, Azih Muda pada 17 Mac lalu berkata kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman sebelum ini juga telah dimanipulasikan dan di luar konteks maksud sebenar.
"Kenyataan Tan Sri Zainal Rahim Seman adalah merujuk kepada penjawat awam perlu menghargai kerajaan sedia ada bermaksud mereka perlu membalas balik sama ada dalam bentuk produktiviti, kerja keras dan komitmen terhadap tugasan setelah usaha kerajaan selama ini menjaga kebajikan mereka," kata Azih (gambar).

Amran yang juga bekas pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu itu juga berkata Cuepacs tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Sebagai kesatuan sekerja, Cuepacs tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana kesatuan sekerja tidak boleh menjadi alat propaganda mana-mana majikan terutama apabila mengeluarkan kenyataan 'kerajaan hari ini sentiasa menjaga kebajikan penjawat awam'.
"Cuepacs juga berkata pihaknya berasa amat terhutang budi dengan kerajaan sedia ada yang sentiasa membuka peluang rundingan antara pekerja dan majikan," kata Amran.
Beliau turut menggesa Cuepacs membela dan menjaga kebajikan pekerja tanpa sebarang kompromi.
"Baliklah kepada perjuangan asal yang sepatutnya membela, mempertahan serta menjaga kebajikan ahli-ahli tanpa ada kompromi atau rasa 'terhutang budi' dengan mengembalikan roh kesatuan sekerja ke dalam Cuepacs," katanya lagi.

