Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS: Azmin tak bergantung pada Allah
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 12:43 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga bekas exco Selangor menyerang Datuk Seri Azmin Ali yang dianggapnya sebagai "tidak bergantung kepada Allah".

Mengulas mengenai isu peruntukan untuk wakil rakyat PAS, Sallehen Mukhyi berkata tindakan menteri besar Selangor berkenaan menafikan hak mereka itu membayangkan sikap Azmin yang cuma "bergantung dengan duit" dan "makhluk".

"Hari ini kita (wakil rakyat PAS) dinafikan mendapat peruntukan kerajaan negeri Selangor.

"PAS Selangor sama dengan PAS Terengganu yang tidak mendapat peruntukan kerajaan negeri masing-masing.

"Mungkin Azmin Ali berfikir dengan dia tidak beri peruntukan kepada kita, jadi payah untuk kita hendak jinakkan hati orang (berkempen untuk PAS).

"Maknanya, dia (Azmin) tidak bergantung kepada Allah tetapi bergantung dengan duit, dengan makhluk," kata Sallehen seperti dipetik harakahdaily.

Sallehen mula membangkitkan isu peruntukan daripada kerajaan negeri itu sejak akhir Jan lalu apabila mendedahkan ia dibekukan untuk wakil rakyat PAS sejak Sept 2017.

Exco PAS dimalukan

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak itu juga menganggap tindakan Azmin itu sebagai "pelik".

Pada 28 Feb pula Sallehen mendakwa sembilan ADUN PAS Selangor terpaksa mengeluarkan wang sendiri berjumlah RM700,000 untuk program bagi dua bulan terakhir kesan keputusan kerajaan negeri.

Kata Sallehen langkah Azmin menafikan peruntukan dibekukan bertentangan dengan janjinya sendiri untuk mengutamakan kebajikan rakyat.

"Setakat ini kami tidak menerima sebarang peruntukan walaupun diberitahu ia telah diagihkan kepada ADUN lain (daripada parti komponen Pakatan Harapan)," katanya.

PAS Selangor kemudian menulis surat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 12 Mac lalu bagi mengadu masalah yang mereka hadapi.

Azmin kemudian berpendapat tindakan PAS Selangor mengheret istana dalam isu berkenaan merupakan penghinaan kepada institusi diraja terbabit.

Kata timbalan presiden PKR itu tidak ada sebab untuk PAS Selangor melibatkan pihak istana dalam isu pentadbiran.

Menurut Sallehen Azmin juga mengetepikan PAS Selangor semasa Pakatan Harapan (HARAPAN) meraikan sambutan 10 tahun mentadbir negeri di Stadium Melawati pada 18 Mac lalu.

Lebih daripada itu Sallehen berkata exco PAS turut dimalukan pada sambutan berkenaan.

"Semua exco diberikan ruang dan peluang untuk bercakap tentang kejayaan-kejayaan yang lalu sampai hari ini, kecuali exco-exco daripada PAS.

"Sedangkan dia minta peruntukan kelulusan kerajaan negeri sebanyak RM612,000 untuk buat program itu. Tiga orang exco kita dimalukan dalam program itu," katanya.

Sallehen berkata demimian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kemaman.

Untuk rekod PAS sudah tidak menjalin kerjasama dengan mana-maana parti dalam HARAPAN yang kini menerajui kerajaan Selangor.

Bagaimanapun dalam keadaan begitu PAS kekal memegang jawatan exco kerajaan negeri.

Pada malam sambutan di Stadium Melawati itu juga PAS menganjurkan program sendiri iaitu majlis solat hajat, munajat dan syarahan perdana.


Baca Benarkah doa PAS cuma untuk pakatan ahzab?


Ia menarik perhatian ramai apabila salah seorang anggota Jawatankuasa PAS Selangor kemudian membacakan doa yang meminta Allah meleburkan "pakatan jahat" serta "tentera ahzab" yang didakwa mereka bukan merujuk kepada HARAPAN.

Selangor adalah salah satu negeri yang disasarkan oleh PAS untuk diperintah selepas PRU ke-14 nanti, selain Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak.

Mengaitkan insiden itu dengan kerajaan pimpinan Dr Mohamad Khir Toyo, Sallehen berkata kerajaan HARAPAN Selangor juga akan tumbang selepas ini.

"Hari ini, 13 orang wakil rakyat PAS dan exconya dimalukan oleh PKR, HARAPAN. HARAPAN juga akan tumbang di negeri Selangor, insya-Allah," katanya disambut takbir.

Lihat Komen
ADS