Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dicabar berdebat mengenai laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bahawa 26 peratus kanak-kanak bawah lima tahun mengalami tumbesaran terbantut di negeri itu, kedua tertinggi selepas Kelantan.

Cabaran terbabit dilontarkan anggota parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu.

Raja Kamarul Bahrin mahu sesi debat itu diadakan pada 29 Mac ini di Terengganu.

"Kalau menteri besar sanggup menuduh saya membuat tuduhan liar dan memfitnah kerajaan Terengganu dalam isu kesihatan anak kecil ini, saya bersedia untuk berdebat dengan beliau tentang isu ini kerana ini melibatkan perkara kritikal masa depan generasi muda Terengganu.

"Isu ini juga ada kaitan dengan kadar kemiskinan yang tinggi di kalangan rakyat Terengganu," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada 8 Mac lalu, Raja Kamarul Bahrin dalam sidang media di lobi Parlimen telah mengetengahkan laporan itu.

Katanya, perkara itu mengejutkan kerana Terengganu menerima bajet RM2 bilion setiap tahun untuk satu juta penduduk berbanding Selangor yang mempunyai bajet lebih rendah iaitu RM1.6 bilion untuk lima juta penduduk.

Bagaimanapun kenyataan Raja Kamarul Bahrin itu ditempelak Ahmad Razif dengan menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan liar dan berniat memfitnah.

Ahmad Razif berkata berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, pada 2013 terdapat hanya 2.38 peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin berkata sikap kerajaan negeri Terengganu mempunyai banyak persamaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.