Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN nasihat mufti Negeri Sembilan
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 1:29 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Pakatan Harapan Negeri Sembilan menasihatkan mufti negeri berkenaan agar tidak mudah melabel individu lain sebagai munafik.

Ia ekoran laporan sebuah akhbar yang memetik Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad sebagai berkata beliau bimbang sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad mencontohi perbuatan Abdullah Ubay kerana bekerjasama dengan DAP serta Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdullah Ubay digelar sebagai ketua munafik kerana berpura-pura memeluk Islam selepas Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah.

Abdullah juga merupakan individu yang mempengaruhi 300 tentera Islam supaya ingkar arahan nabi hingga menyebabkan tentera Islam kalah ketika menentang kaum kafir Quraih semasa perang Uhud.

Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, selaku mufti Mohd Yusof tidak seharusnya mudah menggelar individu lain munafik tanpa memahami isu sebenar yang berlaku.

"Menyamakan Tun Mahathir sebagai Abdullah Ubay seolah-olah membayangkan kerajaan pimpinan Umno, BN seumpama Nabi Muhammad apabila mengisahkan perbuatan Abdullah Ubay.

"(Ia) satu kenyataan yang membayangkan kecetekan ilmu seorang mufti," kata Rafie dalam kenyataan.

Pada 16 Mac lalu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan Mohd Yusof berkata, tindakan bekas perdana menteri itu kini jelas dengan menipu masyarakat apabila kini negarawan itu bekerjasama dengan bekas musuh politiknya iaitu DAP serta Anwar.

"Ciri-ciri orang munafik adalah bermula dengan berbohong, selepas itu memungkiri janji seterusnya mengkhianati amanah dan semua perbuatan ini sedang berlaku saya lihat.

"Tindak-tanduknya itu seolah-olah beliau mengikut perbuatan Abdullah Ubay," Mohd Yusof yang dipetik sebagai berkata.

Ekoran itu, Rafie menjelaskan, berdasarkan pendapat majoriti ulama dalam mazhab Shafie, Hanbali dan Hanafi dalam menghuraikan surah Ali Imran, ayat 28 menyatakan bahawa meminta bantuan dari orang-orang kafir dibolehkan dengan syarat bantuan tersebut benar-benar diperlukan dan diyakini orang kafir tersebut setia.

Justeru, katanya, DAP merupakan parti yang diiktiraf sah menurut Perlembagaan Malaysia serta pimpinan DAP berulang kali menyatakan pendirian mendukung Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam adalah agama bagi persekutuan.

"Perlu dingatkan bahawa umat Islam di Malaysia adalah bermazhab Shafie. Jika hubungan setiap hubungan orang Islam dengan orang kafir adalah munafik maka hubungan Umno dan MCA juga adalah munafik.

"Lebih menghairankan apakah masalah Datuk Mufti NS (Negeri Sembilan) untuk melihat Tun Mahathir mengakui kesilapannya berkait dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha untuk menebus kesilapannya dengan berbaik semula dengan Datuk Seri Anwar.

"Keinsafan Tun Mahathir Mohamad untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara ini sewajarnya dipuji dan bukan dikeji.

"Lebih malang lagi, Datuk Mufti NS gagal menyuarakan kegagalan kerajaan BN mengurus negara akibat salah guna kuasa dan rasuah serta menyebabkan kos barangan meningkat," kata Rafie.

Lihat Komen
ADS