Saksi: Polis ambil keterangan setahun selepas Amri hilang
INKUIRI SUHAKAM | Seorang saksi utama inkuiri siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap kehilangan aktivis Amri Che Mat mendedahkan hari ini pihak polis mengambil keterangan secara rasmi daripadanya lebih setahun selepas insiden itu.
Hal ini meskipun dengan pengetahuan bahawa saksi mendakwa berada di tempat kejadian kira-kira sehari selepas kehilangan Amri.
Syed Amri Syed Abdul Jalil, 24 tahun memberitahu inkuiri itu bahawa pihak polis menghubungi beliau untuk mendapat maklumat sebanyak dua kali selepas kejadian kehilangan pada 25 November 2016 sebelum merekod keterangannya secara rasmi lebih 14 bulan kemudian.
"Kemudian pada Jan 2018, saya menerima panggilan daripad Inspektor Khor Yi Shuen dan meminta saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
"Inspektor Khor juga telah merekod keterangan saya pada waktu tersebut. Itu official punya statement," katanya kepada panel inkuiri.

Syed Amri juga memberitahu inkuiri hari ini pada sekitar tengah malam pada 25 November 2016 dia sedang menunggang motosikal di Jalan Padang Behor di Kangar, Perlis apabila dia melihat empat kenderaan berhenti di tengah jalan.
Pendengaran hari ini dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai (gambar, tengah) bersama pesuruhjaya lainnya Datuk Aishah Bidin and Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
Inkuiri siasatan ini akan bersambung esok.
Inkuiri Suhakam ini menyiasat kehilangan aktivis Amri, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Hilmy serta menentukan sama ada kes-kes ini kehilangan secara paksa sebagaimana yang ditakrifkan oleh International Convention for Protection of all Persons from Enforced Disappearances (ICPPED).
Konvensyen ini diterima oleh Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2006 tetapi Malaysia bukanlah pihak dalam konvensyen tersebut.
Ia mentakrifkan kehilangan secara paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau bentuk-bentuk lain perampasan kebebasan oleh ejen-ejen kerajaan atau oleh orang perseorangan, atau kumpulan-kumpulan orang perseorangan, bertindak dengan kelulusan, sokongan atau persetujuan kerajaan.
Sebelum ini, Suhakam turut menyiasat kehilangan paderi Raymond Koh tetapi terpaksa menggantung prosidingnya apabila bekas pemandu Uber Lam Chang Nam didakwa di mahkamah atas pertuduhan menculik Koh.

