Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Polis kenal pasti individu berpotensi timbulkan kekecohan PRU14'
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 3:09 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Polis telah mengenal pasti individu dan organisasi yang berpotensi melakukan ‘serangan mengejut di saat akhir’ (SLMA) bertujuan menimbulkan kekecohan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Timbalan perdana menteri berkata ini berlaku pada pilihan raya lalu dengan dakwaan palsu kononnya 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk ke negara ini sebagai pengundi hantu pada PRU lalu.

Menjelang pilihan raya kali ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata polis mempunyai senarai individu dan organisasi tersebut serta isu-isu yang boleh dijadikan senjata untuk tujuan jahat itu.

“Saya tahu ada pihak yang akan melakukan SLMA, kita tahu siapa individu-individu itu, kami telah mengenal pasti blog mana yang akan menularkannya dan kami telah mengenal pasti isu-isu yang berpotensi digunakan sebagai last minute bomb,” katanya.

Tindakan pasti akan diambil jika ada mana-mana individu atau organisasi melancarkan SLMA, katanya semasa berucap pada majlis Turun Padang Timbalan Perdana Menteri bersama warga Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid berkata polis juga telah mengenal pasti kawasan yang berpotensi dijadikan lokasi kekecohan itu berlaku.

“Pihak polis juga telah mengenal pasti di manakah lokasi kekecohan akan ditimbulkan. Jangan cuba cabar polis,” tegasnya.

Beliau juga memberi amaran kepada semua parti politik supaya tidak melakukan provokasi terhadap pihak polis dengan membuat sebarang kekecohan di mana-mana lokasi pada pilihan raya umum nanti.

Berhubung dakwaan berkenaan pengundi hantu Bangladesh itu, Ahmad Zahid berkata walaupun ia terbukti tidak benar sama sekali tetapi ia telah mempengaruhi banyak pihak hingga menimbulkan suasana tegang pada pilihan raya umum lalu.

Bagi mengelak situasi sama berulang, beliau telah mengarahkan pihak polis untuk mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam terhadap mana-mana pihak yang cuba melakukan perkara yang sama bagi mengelakkan sebarang kekecohan daripada berlaku.

Bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku pada PRU14, Ahmad Zahid meminta semua parti politik untuk memberi kerjasama sebaik mungkin kepada pihak polis agar proses demokrasi dapat diterjemah pada pilihan raya umum itu nanti.

Dalam pada itu beliau turut mengarahkan pihak polis untuk mengelakkan daripada menggunakan sebarang kekerasan semasa mengawasi perjalanan pilihan raya umum nanti dan sentiasa melakukan engagement dengan parti-parti politik yang terlibat.

Beliau turut mengingatkan polis untuk tidak melakukan provokasi terhadap mana-mana pihak dan sentiasa mengutamakan keamanan dan ketenteraman awam sepanjang menjalankan tugas.

“Dalam menentukan soal keamanan dan ketenteraman awam tidak ada harga yang harus dibayar.

"Dalam menjalankan operasi elakkan daripada menggunakan sebutirpun gas pemedih mata… jangan tembak water cannon pun kecuali keadaan memaksa.

“Dalam hal ini saya berharap PRU ini akan menjadi yang paling tertib dan paling tidak ada masalah kalau semua pihak bekerjasama,” katanya.

Lihat Komen
ADS