Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengkritik manifesto PAS berakal sempit
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 3:17 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

PRU14 | Salah seorang pemimpin kanan PAS hari ini berkata manifesto Malaysia Sejahtera yang diperkenalkan Gagasan Sejahtera 18 Mac lalu adalah sempurna.

Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata walaupun isu mengenai hudud tidak dinyatakan dalam manifesto berkenaan jika diteliti dokumen terbabit meliputi segala hal berkaitan ajaran Islam.

Bacalah manifesto Malaysia Sejahtera yang mengandungi sembilan teras dan 20 tawaran utama serta tawaran khas itu dengan teliti.

"Kamu akan temui semua sekali daripada ajaran Islam. Islam yang sempurna, menyeluruh dan bersifat sejahtera dan sederhana," katanya hari ini.

Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS - dan disertai Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan BERSAJA - membentangkan manifesto mereka di Cyberjaya pada malam Ahad lalu.

Ia dilancarkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beberapa pihak kemudian menimbulkan persoalan mengenai kedudukan hudud yang selama ini menjadi perjuangan PAS apabila ia tidak dinyatakan secara khusus dalam dokumen berkenaan.

Antara pihak yang membangkitkan isu itu ialah Parti Amanah Negara (AMANAH). Pengarah Syariah AMANAH Zolkharnain Abidin berkata kandungan dokumen Malaysia Sejahtera itu menunjukkan PAS kini akur pada realiti walaupun dulu menganggap Perlembagaan Persekutuan sebagai tidak Islamik.

"Tiada kenyataan khusus berkaitan pelaksanaan syariah khususnya hukum hudud dalam tawaran Gagasan Sejahtera," katanya semalam.

Akal biar seluas Islam

Justeru kata Zolkharnain orang ramai tertanya-tanya mengapa hudud yang selama ini dianggap dasar dan nyawa PAS tidak ditegaskan secara khusus dalam manifesto berkenaan.

Nik Abduh yang mendapat undi tertinggi bagi keanggotaan Jawatankuasa Pusat PAS dalam pemilihan parti itu tahun lalu berkata bukan saja hudud tidak disebut dengan khusus dalam manifesto berkenaan.

"Solat pun PAS tak sebut dalam manifestonya.

"Patutnya kamu bertanya, mana solat? Mana zakat dan haji? Bukankah itu lebih besar dalam pemerintahan Islam daripada hudud? Mengapa PAS tak sebut?" katanya.


Baca Hadi minta Cina bantu PAS selamatkan negara


Nik Abduh menegaskan dalam manifesto itu terkandung "semuanya".

Semuanya ada. Akidah yang benar, ibadah yang sahih, akhlak yang luhur, undang-undang Islam yang adil, pemerintahan yang bersih berintegriti dan kehidupan rakyat yang makmur sejahtera.

"Manifesto Malaysia Sejahtera adalah manifestasi sebahagian Gagasan Islam sempurna yang ditawarkan PAS demi Malaysia yang lebih baik selepas PRU-14 nanti," katanya.

Tidak cukup dengan itu anak bekas menteri besar Kelantan itu menambah, orang yang mengkritik manifesto berkenaan sebagai "berakal sempit" laksana tempurung otak.

"Malang, akal kamu sempit sesempit tempurung otak. Tempurung untuk otak, bukan untuk akal. Akal biarlah luas seluas Islam," katanya.

Lihat Komen
ADS