Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
34 'pecat baju' BERSATU, pakai baju PAS di Kelantan

Seramai 34 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Kota Bharu termasuk naib ketua, ketua srikandi dan ketua pemuda serta 12 ketua pusat daerah mengundi (PDM) memilih untuk menyertai parti PAS.

Bekas Naib Ketua BERSATU bahagian, Mohd Nor Hashim Che Min berkata, penyertaan mereka itu sekali gus melucutkan jawatan dan keanggotaan dalam BERSATU.

Menurutnya, pengisytiharan itu dibuat susupan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi BERSATU serta Ketua bahagian, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

"Kami cukup kecewa dengan sikap Dr Mahathir yang kelihatan terlalu mengutamakan DAP dalam setiap tindakan dan keputusan parti.

"Hingga akhirnya kepentingan orang Melayu bawah perjuangan BERSATU sudah tidak lagi kelihatan sebagai keutamaan," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Setiusaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan merangkap yang dipertua PAS kawasan Kota Bharu serta barisan kepimpinan PAS kawasan.

Pada majlis itu, Mohd Nor Hashim dan rakan-rakan turut menyerahkan borang keahlian PAS kepada Takiyuddin yang turut disaksikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Bekas ahli BERSATU bahagian Kota Bharu itu juga melakukan simbolik penyertaan mereka ke dalam PAS dengan menanggalkan baju parti lama dan dipakaikan dengan kemeja T PAS.

Mengulas lanjut Mohd Nor Hashim berkata, mereka juga kecewa dengan sikap Pakatan Harapan Kelantan yang dilihat amat sibuk berebut kerusi dan hanya memusatkan perhatian untuk bertanding berbanding khidmat kepada rakyat.

"Walaupun mereka secara asasnya tidak memiliki kekuatan di peringkat akar umbi dan dalam struktur masyarakat, tetapi nafsu besar mereka kelihatan mahu bertanding di semua kerusi.

"Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai contoh mahu membolot segala kerusi yang ada di Kelantan walaupun kekuatan mereka entah di mana.

"Kami semua sudah muak dan jelek dengan politik adu domba serta tidak berpenghujung dimainkan oleh mereka.

"Justeru, dengan pengisytiharan ini, secara sukarela dan bangganya menyertai PAS sebagai parti Melayu tertua yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan sekali gus menjadi destinasi terakhir perjuangan kami, Insya-Allah," katanya.

Takiyuddin: 'Ahlan wasahlan'

Sementara itu, Takiyuddin berkata, pihaknya menyambut penyertaan kumpulan itu dengan penuh rasa syukur dan gembira.

"Kita ucapkan ahlan wasahlan (selamat datang) kepada saudara Hashim dan rakan-rakan yang memilih untuk bersama PAS.

"Ini satu lagi peristiwa bersejarah yang kali ini berlaku di Kota Bharu yang bekas anggota BERSATU dengan rela hati menyertai PAS untuk kita bersama-sama menghadapi pilihan raya umum ke-14," katanya.

Lihat Komen
ADS