Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Walaupun tidak disebut khusus dalam manifesto pilihan rayanya, PAS menegaskan mereka tidak pernah melupakan perjuangan untuk melaksanakan hukum hudud.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan, usaha melaksanakan hudud kini menjadi sebahagian daripada agenda memperkasakan Mahkamah Syariah dan sistem perundangan Islam.

"Jadi hudud itu termasuk dalam itulah. Hudud ini bukanlah satu benda yang besar. Ia satu program dalam usaha memperkasakan Mahkamah Syariah.

"Macam rang-undang 355 (RUU355), kita tak sebut hudud tapi memperkasakan Mahkamah Syariah.

"Bila Mahkamah Syariah ini diperkasakan sistem undang-undang syariah diperkasakan, automatik hudud ataupun unsur-unsur hudud berada di dalamnya," katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan borang keahlian PAS daripada bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Kota Bharu, hari ini.

Dalam manifesto yang diumumkan Sabtu lalu, PAS tidak menyebut berkaitan hudud – yang sekali gus menjadi tanda tanya dan mengundang kritikan musuh politik mereka.

Menjawab serangan itu, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu bertanya kembali apakah sumbangan pengkritik pula terhadap perjuangan Islam.

"Bagi mereka yang mengkritik PAS ini lari daripada perancangan melaksanakan hudud, kita nak tanya kepada mereka ini apa perjuangan mereka untuk Islam?

"Langsung tidak ada," tegasnya.

Tambah beliau, agenda mereka lebih besar kerana hudud hanya sebahagian daripada tuntutan Islam.

"Kita memang menyebutkan perkataan Islam, Islam itulah yang penting bagi kita dan Islam itu boleh dicernakan dalam pelbagai aspek yang lain.

"Dan apabila kita menyebut hudud, kita tak boleh rasa fobia bahawa itulah satu-satunya yang nak diperjuangkan oleh PAS.

"Dalam syariat Islam hudud itu salah satunya, kita ada hudud, qisas, takzir dan banyak lagi aspek lain," katanya.

Lihat Komen
ADS