Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya takkan tanding pilihan raya, kata KSU KeTTHA

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang menegaskan tiada pihak mengarahkan beliau untuk ‘menyerang’ kerajaan negeri Selangor dengan menimbulkan isu margin simpanan air di negeri itu.

Zaini juga menganggap dakwaan yang dibuat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadapnya seperti dilaporkan media baru-baru ini sebagai tidak berasas kerana kenyataannya mengenai isu berkenaan adalah berpandukan pada fakta.

“Saya bukan ahli politik dan saya tak diarahkan oleh sesiapa untuk mengeluarkan kenyataan mengenai isu air itu. Saya juga takkan bertanding dalam pilihan raya,” katanya ringkas selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu rangkaian restoran makanan segera McDonald’s di Setia Alam, di Shah Alam hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Mohamed Azmin mendakwa kononnya kenyataan berkaitan isu margin simpanan air di Selangor yang dikeluarkan Zaini adalah bermotifkan serangan politik memandangkan pilihan raya umum ke-14 semakin hampir.

Dalam pada itu, Zaini menyatakan krisis air di Selangor boleh diatasi sekiranya kerajaan negeri segera melakukan proses migrasi loji rawatan air (LRA) seperti yang sering disarankan oleh kementerian tersebut sebelum ini.

Katanya LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) Bukit Badong ketika ini beroperasi melebihi kapasiti reka bentuk dan proses migrasi perlu dilakukan bagi mengelakkan krisis air di Selangor menjadi lebih buruk.

“Secara analoginya, jika sebuah teksi yang biasa beroperasi 10 jam sehari untuk meraih pendapatan, meningkatkan tempoh bekerja kepada 16 jam sehari untuk menambahkan lagi pendapatannya dan dibuat pula begitu selama lima tahun, apa implikasinya?

“Jika diletakkan situasi itu pada LRA yang terpaksa beroperasi pada kapasiti lebih tinggi daripada reka bentuk asal pasti akan mengalami kerosakan. Disebabkan itu, adalah penting untuk segera melaksanakan proses migrasi,” jelasnya.

Pada 12 Mac lepas, Zaini dilaporkan memberi masa empat bulan sehingga Julai 2018 ini kepada kerajaan Selangor untuk bersetuju melaksanakan proses migrasi bagi mengelakkan krisis air di negeri itu menjadi lebih buruk.

Menurut beliau, jika kerajaan Selangor enggan memberi kata putus, banyak implikasi yang akan berlaku antaranya LRA Langat 2 yang telah siap menjalani proses pengujian dan pentauliahan tidak dapat digunakan.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS