BERSIH lantik aktivis hak asasi sebagai pengarah eksekutif baru
BERSIH hari ini mengumumkan jawatan baru engarah eksekutif yang akan diterajui oleh aktivis hak asasi manusia, Yap Swee Seng.
Pengumuman itu dibuat oleh pemangku Pengerusi BERSIH, Shahrul Aman Mohd Saari yang berkata pelantikan Yap berkuat kuasa Jumaat lalu.
"Beliau akan memimpin sekretariat dengan sokongan jawatankuasa pemandu untuk terus memacu demokrasi di Malaysia khususnya dalam pembaharuan dan pemantauan pilihan raya pada pilihan raya umum ke-14 akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Yap adalah pengarah eksekutif Suaram dari tahun 2006 hingga 2009 dan juga pengarah eksekutif Forum Asia untuk Pembangunan Hak Asasi Manusia (Forum-Asia) dari tahun 2009 hingga 2013.
Beliau memegang ijazah sarjana dalam bidang hak asasi manusia dari University of Essex, UK.
Selain pencapaiannya itu, Yap juga adalah veteran BERSIH dan pernah menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pemandu BERSIH 1.0 (2006 -2008) ketika beliau mewakili Suaram.
"Beliau juga menyokong organisasi itu dengan kerja-kerja logistik semasa (perhimpunan) BERSIH 4 dan BERSIH 5," kata Shahrul.
Menurut Shahrul, Yap akan memanatau dua kempen berterusan yang dianjurkan oleh BERSIH menjelang pilihan raya umum ke-14.
Kempen itu adalah "Satukan Tenaga, Kalahkan Penipuan" yang akan menggalakkan pembaharuan institusi dan jumlah pengundi yang besar untuk mengatasi manipulasi pilihan raya dan "Pemantau" yang akan melatih orang ramai untuk bertindak sebagai pemerhati pilihan raya bebas.

