Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mukhriz bidas PMO, dakwa alih perhatian dari 'kempen haram'
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 11:00 PM
Dikemaskini: Mar 21, 2018 4:08 AM

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekali lagi menafikan kaitan dengan Cambridge Analytica (CA) dan mendakwa Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengeluarkan kenyataan mengelirukan.

PMO hari ini mendakwa ia menerima pengesahan daripada SCL Group yang mengetuai firma CA, yang dikatakan melaporkan secara langsung kepada Mukhriz semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 di Kedah.

"Pernyataan oleh PMO adalah mengelirukan. Saya menolak sama sekali sebarang hubungan dengan CA pada bila-bila masa," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Mukhriz menambah Azrin Zizal, yang kini ketua kumpulan SCL Group di Asia Tenggara, hanya bekerja sebagai pegawai medianya dari tahun 2009 hingga 2013, semasa beliau menjadi timbalan menteri perdagangan dan industri antarabangsa.

"Dia tidak bekerja dengan saya sebagai wakil sebuah syarikat seperti SCL Group atau CA, dan dia bukan lagi pegawai media saya bila saya menjadi menteri besar Kedah.

"Apa-apa dakwaan adalah mengelirukan fakta yang bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada penggunaan taktik kempen secara haram untuk BN seperti diakui oleh CA," katanya.

CA mendapat perhatian antarabangsa selepas dilaporkan menyalahgunakan berjuta-juta data peribadi pengguna di Facebook untuk tujuan politik.

Firma analisis data itu juga didakwa menggunakan taktik perangkap terhadap lawan politik seperti merakamkan kakitangan memberi rasuah kepada ahli politik, atau menghantar gadis ke rumah mereka.

Sebuah video intipan saluran Channel 4 di UK menunjukkan pengarah urusan bahagian politik CA, Mark Turnbull mengakui syarikat itu beroperasi di Malaysia.

 

Lihat Komen
ADS