Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cabul adik ipar: Warga emas dihukum 12 bulan penjara
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 6:20 AM
Dikemaskini: 10:41 PM

Seorang warga emas dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang bagi kesalahan mencabul adik iparnya di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) tempat mereka bekerja, awal tahun lepas.

Majistret Haslinda A.Raof menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh berusia 64 tahun, yang mengajar mengaji di taska sama, selepas dia mengaku bersalah atas perbuatannya itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Mac lepas.

Lelaki itu didakwa mencabul mangsa berusia 38 tahun yang merupakan pengasuh taska di dalam bilik sebuah taska di Pandan Indah di sini pada 7.15 malam, 23 Jan 2017 mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu dia adalah Orang Kurang Upaya (OKU) di bahagian kakinya dan memohon hukuman yang dikenakan boleh mendekatkan dirinya kepada Tuhan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira tertuduh telah melakukan perbuatan yang tidak bermoral selain kes itu berlaku di sebuah taska yang merupakan tempat awam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS