Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CEO Cambridge Analytica dakwa kempen firmanya pengaruhi p'raya AS
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 10:51 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

GLOBAL l Ketua eksekutif Cambridge Analytica yang digantung perkhidmatanya, Alexander Nix, berkata dalam satu video yang dirakam secara rahsia di London semalam bahawa kempen dalam talian oleh firma perunding politiknya yang berpangkalan di UK, memainkan peranan penting dalam kemenangan Presiden Donald Trump dalam pilihan raya AS 2016.

Komen Nix, yang tidak dapat disahkan, berpotensi memburukkan lagi masalah Facebook Inc kerana ia berdepan dengan penelitian penggubal undang-undang di AS dan Eropah berhubung penggunaan tidak wajar Cambridge Analytica terhadap 50 juta data peribadi pengguna Facebook 'untuk menyasarkan pengundi'.

Harga saham rangkaian media sosial itu jatuh untuk kali kedua semalam, ditutup merosot 2.5 peratus, kerana pelabur bimbang bahawa urusannya dengan Cambridge Analytica, mungkin merosakkan reputasinya, dihindari pengiklan dan mengundang peraturan ketat. Syarikat itu telah kerugian AS60 bilion (RM235.6 bilion) nilai pasaran sahamnya selama dua hari terakhir.

Lembaga pengarah Cambridge Analytica menggantung perkhidmatan Nix semalam, sejurus sebelum bahagian kedua stesen penyiar Channel 4, mendedahkan kaedah yang digunakan oleh syarikat itu.

Dalam program itu, Nix menerangkan amalan yang meragukan, digunakan untuk mempengaruhi pilihan raya asing dan berkata firmanya melakukan semua penyelidikan, analisis dan sasaran pengundi untuk kempen digital dan TV Trump.

Dia juga dengan bangganya berkata  'berkali-kali' menemui Trump semasa Trump menjadi calon presiden Republikan.

Komen Nix ini "tidak mewakili nilai atau operasi firma itu dan penggantungan perkhidmatan beliau mencerminkan keseriusan kami melihat pelanggaran ini," kata Cambridge Analytica dalam satu kenyataan semalam.

Brad Parscale, penasihat digital utama kempen 2016 Trump yang sering berurusan dengan Cambridge Analytica, tidak memberi respon segera terhadap permintaan untuk komen mengenai dakwaan Nix itu.

Jared Kushner, menantu Trump dan kini menjadi penasihat, menyelia operasi digital kempen Trump ini.

Seorang bekas penasihat Trump berkata Kushner membawa Cambridge Analytica dalam usaha kempen 2016. Peguam Kushner tidak segera memberi respon untuk komen.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS