Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA: DAP pinggir kaum Cina dalam manifesto HARAPAN
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 11:47 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

DAP bimbang untuk bercakap mengenai kepentingan kaum Cina dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dilancarkan baru-baru ini, kata jurucakap publisiti MCA Ti Lian Ker.

Menurutnya, ketika DAP dan HARAPAN menyatakan manifesto itu berdasarkan merit dan tanpa pertimbangan kaum, mereka membuat pengecualian dengan menyebut 'iltizam khusus' terhadap kaum Melayu dan India.

"Ini menunjukkan kepura-puraan DAP yang tidak jelas dan tidak konsisten. Ternyata mereka telah masuk dalam politik etnosentrik (Tun) Dr Mahathir (Mohamad)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ti berkata, DAP menggunakan istilah "mikroskop Cina" untuk mengelakkan parti itu diabaikan oleh penyokong daripada kaum Cina.

"HARAPAN mendakwa akan meeperjuangkan keadilan dan layanan sama rata untuk semua orang tanpa mengira kaum atau agama, tetapi dasar yang mereka usulkan dalam manifesto mereka terang-terangan tidak adil dan sama sekali tidak menghiraukan kebajikan masyarakat Cina.

"Dasar itu menyatakan untuk semua kaum tapi kecuali untuk kaum Cina.

"Adakah DAP menyimpulkan bahawa kaum Cina yang memberikan mereka 80 peratus undi tiada masalah dan tidak memerlukan bantuan atau pertolongan kerajaan?" soal beliau.

Beliau merujuk muka surat 10, 23, 43, 46, 47, 69, 70, 72, 157 dan 167 dalam manifesto berkenaan yang mengupas mengenai iltizam khusus kepada kaum Melayu dan India.

Ti berkata manifesto itu menunjukkan sikap hipokrit DAP kerana memberikan layanan istimewa berterusan kepada kaum bumiputera.

"DAP mempunyai keberanian untuk mendakwa mereka tidak bersifat perkauman, menyalahkan MCA kerana padang permainan tak sama rata. Apabila berdepan dengan Mahathir, mereka mengalah dan menyerah sepenuhnya.

"HARAPAN membuat begitu banyak janji untuk bumiputera dan tiba-tiba DAP membisu terhadap keadilan semua kaum dan perhatian yang sama kepada setiap keperluan kaum," katanya.

Lihat Komen
ADS