Tak payah berebut jawatan MB S'gor, kata Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan BN Selangor untuk memastikan parti tersebut menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum mengatur perancangan lain termasuk siapa layak dipilih menjadi Menteri Besar.
Beliau juga yakin BN Selangor berpotensi menambah kerusi melalui strategi menumpukan kerusi yang kalah semasa PRU13 dan menambah undi.
“Soal jawatan menteri besar tak payah berebut, kita boleh berunding letak calon yang layak dan dapat perkenan daripada Sultan Selangor, tapi yang penting menang dulu.
“Terjemahkan dukungan dan semangat di atas kertas undi semasa pengundian, kerana itu lebih penting bukan sekadar sorakan,” kata Zahid seperti dilapor Sinar Harian.
Zahid turut mengingatkan tiga perkara penting kepada jentera BN menjelang PRU14 antaranya melupakan hal remeh temeh, memperkukuhkan saf dalam kalangan anggota parti dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Beliau juga mengingatkan jentera BN menggunakan kaedah matang dan tidak membuat serangan peribadi terhadap mana-mana pemimpin.
“Kaedah kempen tak perlu sentuh peribadi seseorang dengan membunuh karakter, sebaliknya tunjuk kepada rakyat melalui kesinambungan dan kesejahteraan dengan pembangunan di kawasan yang diwakili dan buktikan pemimpin BN bukan wakil rakyat bermusim.
“Saya berjanji akan beri pertimbangan kelulusan peruntukan RM5.35 juta untuk 19 perkara seperti yang dimohon dengan syarat Dun Paya Jaras dirampas,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

