Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Datin Rozita lesap, pendakwa diberi tempoh seminggu
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 1:07 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk mengesan Datin Rozita Mohamad Ali, 41 yang didakwa mendera pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Tun Abd Majid Datuk Tun Hamzah mengeluarkan perintah itu selepas Rozita gagal hadir ke mahkamah untuk mendengar permohonan semakan semula hukuman terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad berkata, pihaknya sudah cuba mengesan Rozita dan penjaminnya di beberapa lokasi sejak semalam untuk menyerahkan notis hadir ke mahkamah namun gagal.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Mac ini, lapor Berita Harian.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun terhadap Rozita atas tuduhan mencederakan pembantu rumahnya, Suyanti Sutrinso, 19 selain membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar membuat keputusan itu selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah apabila pertuduhan pindaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Suri rumah itu sebelum ini berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi tuduhan asal, iaitu cubaan membunuh namun pihak pendakwaan menawarkannya pertuduhan pindaan (menyebabkan cedera parah).

Namun, pelbagai pihak menzahirkan rasa tidak puas hati termasuk Pejabat Peguam Negara yang memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Setakat ini, lebih 50,000 individu menandatangani petisyen menerusi laman sesawang Change.org menuntut hukuman tegas dikenakan terhadap Rozita tanpa mengira pangkat dan kedudukannya.

Pada 21 Disember dua tahun lalu, Suyanti ditemui terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang oleh pengawal keselamatan.

Lihat Komen
ADS