Pasukan penasihat MCA Cheras dilapor mendesak kepimpinan pusat parti itu mempertimbangkan semula keputusan memilih Ketua Wanita MCA Cheras Heng Sinn Yee sebagai calon pilihan raya.

Mereka berpendapat kempen yang bakal dilalui Heng tidak sesuai dan berbahaya kepada kesihatan dan kandungannya.

Heng sedang hamil di peringkat akhir.

Heng bagaimanapun dilaporkan tidak bimbang dengan perkara itu dan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Banyak perkara boleh berlaku dalam pilihan raya dan tiada siapa pun boleh jangka,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinchew Daily.

“Walaupun kawasan parlimen Cheras dianggap kawasan hitam untuk BN, saya akan alukan yang terbaik untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi dan berharap dapat menukar label kawasan hitam ini.”

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilapor telah memetik nama Heng kepada pemberita sebagai calon pada Jun tahun lepas.

Pengumuman rasmi masih belum dibuat.

Pasukan penasihat MCA Cheras pula berkata BN harus memilih calon yang boleh menunjukkan prestasi baik di Cheras.

“Heng mengandung dan dijangka bersalin pada April atau Mei depan tetapi terpaksa bersedia untuk pilihan raya, beliau kena bergerak ke banyak tempat dan selesaikan masalah orang ramai.

“Ini termasuk periksa parit, panjat sana terjun sini. Keadaan ini cukup menyusahkan dan berisiko untuk beliau,” katanya.

Cheras adalah kubu kuat DAP yang kini disandang oleh Pengerusi parti itu an Kok Wai.

Tan telah berkhidmat di situ selama lima penggal berturut-turut sejak tahun 1995.

Dalam pilihan raya umum 2013, Tan menang dengan majoriti besar 37,409 undi mengalahkan calon MCA Teoh Chee Hooi.