Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suami isteri didakwa dagang amah untuk kerja paksa

Sepasang suami isteri didakwa hari ini atas pertuduhan memperdagangkan pembantu rumah mereka untuk kerja paksa dengan menggunakan kekerasan.

Fong Yik Cheat @ Fong Siang Chin, 46, dan suaminya Cheng Ming Soon, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pasangan itu didakwa bersama-sama telah memperdagangkan mangsa berusia 26 tahun itu bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara kekerasan di sebuah rumah di Desa Park City, Kepong, Sentul, di Kuala Lumpur pada 1.20 tengah hari, antara 17 Sept 2013 dan 21 Feb lepas.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan kepada pasangan itu iaitu pasport perlu diserah kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis.

Peguam Datuk B. Jayanthi Devi yang mewakili pasangan itu memohon mahkamah membenarkan jaminan dan mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh.

Azura membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat pasangan itu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis berhampiran kediaman setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 4 April untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Jawa Timur dikurung di rumah majikannya dan perkara itu diketahui jiran yang kemudian membuat laporan polis. -Bernama

Lihat Komen
ADS