SPR akan guna persempadanan baru
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengguna pakai kawasan persempadanan baharu jika ia diwartakan sebelum Parlimen ke-13 dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Beliau berkata SPR akan membawa usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"SPR hanya perlu masa sehari untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Pertuan Agong dan selepas itu draf tersebut menjadi rasmi dan boleh digunakan untuk PRU14," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen #jomkitasemak dan #jomkitaundi SPR di Universiti Malaysia Perlis di Arau, hari ini.
Mohd Hashim berkata persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya dibuat berdasarkan kemajuan dan pembangunan demografi kawasan dan penduduk, sekali gus menyangkal dakwaan parti-parti politik khususnya pembangkang bahawa proses itu dilakukan bertujuan memenangkan parti pemerintah.
Katanya persempadanan semula itu sepatutnya telah diluluskan sejak dua tahun lepas namun tertangguh kerana ia dibawa ke mahkamah oleh pembangkang menyebabkan perkara itu tertangguh.
Pada 10 Mac, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentang untuk dibahas dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga 5 April.
Menyentuh dakwaan pihak tertentu kononnya suruhanjaya itu telah menukar prosedur pengiraan undi dan penamaan ejen tanpa pemberitahuan awal, Mohd Hashim menegaskan bahawa sistem perjalanan pilihan raya itu tidak berubah.
Bagi memastikan proses pengundian dan pengiraan undi telus, Mohd Hashim meminta parti-parti bertanding mengemukakan ejen yang mencukupi di 29,097 saluran mengundi di 8,971 pusat mengundi dan penjumlahan undi.
“SPR rayu, minta parti politik hantar ejen secukupnya di tiga tempat iaitu tempat mengundi, pengiran undi dan barung semakan,” katanya semasa menjelaskan isu berkenaan.
Mohd Hashim berkata buat pertama kali, SPR memberi peluang kepada mahsiswa untuk terlibat sebagai pemerhati proses perjalanan pilihan raya.

