Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis Kelantan rampas 50 senjata api haram sejak 2016

Polis Kelantan merekodkan rampasan 50 laras senjata api pelbagai jenis dan 1,350 peluru hidup sejak 2016 hingga hari ini, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Hassanuddin Hassan.

Menurutnya, dalam tempoh itu seramai 84 orang berjaya ditangkap atas kesalahan menyeludup dan memiliki senjata api secara tidak sah.

"Kebanyakan senjata api ini dibeli dari negara jiran (Thailand) dengan harga antara RM6,000 hingga RM8,000 mengikut jenis dan dibawa masuk melalui pintu sempadan negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Bagaimanapun Hassanuddin berkata, penggunaan senjata api haram di negeri itu masih terkawal dan tidak terlalu serius.

Beliau menambah polis Kelantan juga tidak melakukan penguatkuasaan secara bermusim sebaliknya mengesan penyeludupan masuk senjata api setiap hari di kawasan sempadan.

"Kita juga bergantung kepada maklumat orang ramai. Saya percaya bahawa maklumat orang awam cukup membantu dan saya sentiasa dahagakan maklumat orang awam," katanya.

Terdahulu, Hassanuddin mengumumkan kejayaan Polis Kelantan merampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 Smith and Wesson buatan Amerika Syarikat berisi empatbutir peluru yang di sorok dalam bantal pada serbuan di sebuah rumah di Rantau Panjang semalam.

Susulan itu katanya, pihaknya berjaya menahan dua lelaki Melayu berusia 20 dan 26 tahun yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Kita turut menemui lima butir peluru dan dua kelongsong dalam bantal tersebut selain 0-65 gram dadah jenis syabu dan setengah biji pil kuda serta peralatan menghisap dadah di rumah berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Lihat Komen
ADS