Saksi: Kenderaan mencurigakan parkir di luar rumah Amri
INKUIRI SUHAKAM | Seorang saksi hari ini tampil memberitahu inkuiri awam Suhakam berhubung kehilangan aktivis Amri Che Mat bahawa dia melihat beberapa kenderaan parkir berhampiran rumah Amri sebelum aktivis Perlis Hope itu hilang.
Saksi berkenaan, Vee Yak, 35, yang memiliki bengkel kereta di Jalan Padang Behor di Kangar, Perlis, kira-kira 150 meter dari rumah Amri berkata kenderaan berkenaan diparkir bergilir-gilir selama tiga hari berturut-turut sebelum kehilangan Amri.
Amri dilaporkan hilang sekitar tengah malam pada 25 Nov 2016.
Vee berkata tiga kenderaan berkenaan adalah kereta Toyota Vios model lama berwarna emas, Honda Civic putih dan Toyota Hilux hitam.
Menurutnya, kereta Vios berkenaan akan diparkir di kawasan itu pada awal pagi sehingga pukul 3 petang sebelum digantikan kereta Civic di tempat sama sehingga 7 malam. Dari 7 malam hingga tengah malam, Hilux hitam akan tiba dan parkir di luar bengkelnya.
"Enjin kereta hidup sepanjang masa tapi tak ada sesiapa keluar dari kereta," katanya.
Vee menambah ketiga-tiga kenderaan menggunakan 'tinted' gelap yang menyukarkan untuk melihat wajah atau jumlah individu di dalam kenderaan.
Menurutnya, dia sempat mencatat nombor pendaftaran Vios berkenaan iaitu PFC 1623 namun tidak sempat mencatat dua kenderaan yang lain.
Diminta tandatangan 'kertas kosong'
Pada Disember 2016, sebulan selepas kehilangan Amri, Vee berkata beliau didatangi seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis dalam pakaian preman dan tidak menunjukkan dokumen pengenalan diri atau nama.
Lelaki berkenaan menanyakan berkenaan kenderaan mencurigakan yang Vee perhatikan dab menulis nota di telefonnya. Menurut Vee, dia tidak diminta tandatangan sebarang kenyataan.
Pada 16 Oktober 2017, Vee berkata dia diarahkan hadir di ibu pejabat polis daerah Kangar di mana kenyataan lisannya diambil oleh Inspektor Muhd Husyairi Musa.
"Saya juga diminta menandatangani banyak kerta kosong," kata Vee.
Vee kemudian membuat laporan polis terhadap polis berkenaan di ibu pejabar polis sama kerana memintanya menandatangani kertas kosong. Vee ditemani peguam keluarga Amri, K Muthiah.

