Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenyataan MB mahu campak menteri, KSU timbulkan kemarahan'
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 5:04 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu mencampak menteri tenaga teknologi hijau dan air (KETTHA) dan ketua setiausaha kementerian itu ke dalam empangan sebagai membuktikan ia tidak kosong terus menimbulkan kemarahan pemimpin dan penyokong BN.

Hari ini, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam menasihatkan Azmin supaya bertenang dan tidak terus menggelabah dengan pendedahan ketua setiausaha KETTHA, Datuk Seri Zaini Ujang mengenai fakta sebenar bekalan air di negeri itu.

“Kenyataan balas yang dikemukakan oleh Azmin tidak langsung menjelaskan tentang simpanan air terawat sebaliknya menjelaskan tentang simpanan air di empangan.

“Rakyat Selangor bukannya meminta air tadahan hujan atau dari empangan, tetapi air yang dirawat dan selamat untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Zaini dilaporkan berkata krisis bekalan air yang menghantui penduduk di Selangor dan Lembah Klang tidak akan selesai selagi Azmin tidak faham perbezaan antara air mentah di empangan dengan air terawat.

Katanya, hujah Azmin yang hendak berdabik dada dengan data jumlah air mentah di empangan sebenarnya tidak membantu dalam penyelesaian masalah bekalan air terawat.

Menguls lanjut, Irmohizam berkata, adalah lebih baik bagi Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR mendiamkan diri jika tidak tahu keadaan sebenar.

“Nampaknya pemahaman menteri besar Selangor telah jauh menyimpang.

“Mungkin lebih baik jika beliau tidak menjawab jika tidak tahu dan bukannya beremosi sampaikan hendak menghumban ketua setiausaha KETTHA ke dalam empangan,” katanya.

Azmin ketika berucap di Karnival Himpunan Rakyat di Stadium Shah Alam pada 17 Mac lalu berkata mahu mencampak Zaini dan menterinya ke dalam empangan sebagai membuktikan air di Selangor adalah mencukupi.

Beliau juga mencabar Zaini bertanding melawan beliau dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ini.

Beliau berkata demikian sebagai menolak kenyataan kementerian yang mengatakan empangan Selangor merekodkan kosong peratus dalam simpanan air dan menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air.

Bagaimanapun, kenyataan menteri besar itu ditempelak pemimpin dan penyokong BN yang mendakwa tidak berguna empangan yang penuh dengan air mentah sekiranya bekalan air terawat tidak sampai ke rumah-rumah di Selangor dan Lembah Klang.

Krisis bekalan air di Selangor pada bulan ini dilaporkan sebagai antara terburuk dalam sejarah kerana telah menjejaskan lebih dua juta pengguna di Lembah Klang dan Selangor dengan membabitkan 498 kawasan.

Azmin, sebelum ini menjelaskan kebanyakan sembilan empangan di Selangor merekodkan tahap air melebihi tahap 100 peratus.

Lihat Komen
ADS