Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan menyatakan kelegaan susulan 34 ahlinya menyertai PAS, semalam.

Pengerusi BERSATU negeri, Datuk Kamaruddin Mohd Nor menyifatkan keluarnya segelintir ahli daripada bahagian Kota Bharu itu sebagai 'tercabut duri dalam daging'.

"Mereka sebenarnya membantu kita kerana tidak lagi menjadi duri dalam daging, " katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan seramai 34 anggota BERSATU bahagian Kota Bharu termasuk naib ketua bahagian, ketua srikandi dan ketua pemuda memilih untuk menyertai PAS.

Ia sekali gus melucutkan keahlian dan jawatan mereka yang dipegang semasa dalam BERSATU.

Bekas naib ketua BERSATU Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min berkata, mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi BERSATU serta Ketua Bahagian, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

"Kami cukup kecewa dengan sikap Dr Mahathir yang kelihatan terlalu mengutamakan DAP dalam setiap tindakan dan keputusan parti.

"Hingga akhirnya kepentingan orang Melayu di bawah perjuangan BERSATU sudah tidak lagi kelihatan sebagai keutamaan," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, isu keluar dan masuk parti adalah perkara biasa menjelang pilihan raya umum.

"Tiada nama besar yang keluar, oleh itu tiada kejutan.

"Saya ucapkan selamat kepada PAS yang menerima mereka, terima kasih, " katanya yang juga ketua penerangan BERSATU.

 

Lihat Komen
ADS