Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar akan dibentang di Dewan Rakyat selepas mendapat kelulusan daripada kabinet hari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurutnya, bacaan kali pertama RUU berkenaan akan dibuat di Dewan Rakyat pada minggu hadapan.

"Sesi taklimat bersama ahli parlimen Barisan Nasional dan pembangkang juga akan diadakan dalam tempoh terdekat berhubung Rang Undang-Undang ini," katanya dalam kenyataan media.

Azalina berkata pembentukan RUU itu bertujuan memperuntukkan beberapa kesalahan berkaitan penyebaran dan langkah-langkah bagi mengekang berita tidak benar.

"Rang Undang-Undang ini digubal demi kepentingan masyarakat umum bagi melindungi rakyat daripada lambakan berita tidak benar serta menjadi mangsa kepada berita tidak benar.

"Walau bagaimanapun, Rang Undang-Undang ini sama sekali tidak menyekat hak kebebasan bersuara rakyat sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Justeru, katanya kerajaan juga berharap semua pihak menerima baik RUU itu serta tidak mempolemikkan isu tersebut.

"Pada masa yang sama, Rang Undang-Undang ini juga akan memberikan mesej yang jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan apa-apa perkara yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara," jelasnya.

Terdahulu Timbalan Menteri Komukasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari memberitahu parlimen hari ini bahawa maklumat berkaitan 1MDB yang tidak disahkan akan dianggap sebagai berita palsu.

Pada masa ini undang-undang untuk membanteras kandungan berita palsu dan fitnah antaranya melibatkan Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Minggu lalu kerajaan bertemu wakil gergasi internet Facebook, Google, YouTube, Twitter, serta Asia Internet Coalition untuk mendapatkan maklum balas mengenai RUU berkenaan.

Sementara itu, cadangan RUU itu turut menerima reaksi pemimpin pembangkang.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan turut mengenakan tindakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyebaran sesuatu berita palsu.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Riduan Mohd Nor pula berkata usaha menangani berita palsu perlu dimulakan di media arus perdana yang menjadi saluran pihak tertentu yang didakwanya menyebarkan fitnah.

Bagi bekas Menteri Penerangan Tan Sri Dr Rais Yatim, kerajaan tidak sepatutnya tergesa-gesa menggubal undang-undang bagi menangani berita palsu.

Rais yang kini penasihat sosiobudaya kepada kerajaan berkata, hal itu kerana istilah "berita palsu" masih menjadi perbincangan dan belum ada takrifan jelas mengenainya.