Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Asheeq Ali Sethi Alvi yang digantung pihak universiti kerana terlibat himpunan 'Tangkap MO1' hari ini memfailkan permohonan untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Permohonan itu dibuat oleh peguamnya di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan dengan mengajukan empat soalan berhubung penggantungannya hari ini.

Penggantungan Asheeq selama sebulan dikuatkuasakan semula oleh pihak universiti selepas rayuannya ditolak mahkamah rayuan bulan lalu.

Mahkamah menolak rayuannya atas dasar tiada kesilapan dibuat hakim Mahkamah Tinggi yang memutuskan Asheeq perlu memfailkan rayuannya melalui semakan kehakiman dan bukannya saman pemula.

Empat soalan yang diajukan kepada mahkamah adalah:

1. Sama ada universiti yang ditubuhkan di bawah Akta Universiti dan Koleh Universiti 1971 (AUKU) mengambil tindakan disiplin mengikut peraturan.

2. Sama ada Peraturan 3 dan 13 dalam Peraturan-Peraturan UKM (Disiplin Pelajar) 1999 tidak mengikur perlembagaan kerana menghalang pelajar berhimpun secara aman di luar kampus yang juga melanggar Artikel 10 (1) (a)(b) Perlembagaan Persekutuan.

3. Sama ada Peraturan 3 dan 13 dalam Peraturan-Peraturan UKM perlu dibaca sebagai ia tidak menghalang pelajar berhimpun di luar kampus untuk memprotes yang bererti mereka melanggar Artikel 10 (1)(a)(b) Perlembagaan Persekutuan; dan

4. Apabila universiti ditubuhkan di bawah AUKU mengenakan tindakan disiplin kepada pelajar, bolehkah pejar itu mengambil tindakan undang-undang terhadap institusi melalui saman pemula.

Sekiranya dibenarkan, Asheeq berkata peguamnya akan mencabar bahawa saman pemula yang difailkan boleh dianggap tindakan sah dan bukan sekadar semakan kehakiman.

Untuk membuat rayuan dia Mahkamah Persekutuan, usul itu perlu difailkan dalam tempoh 30 hari dan perlu diperoleh sebelum pendengaran penuh.

Asheeq sebelum ini digantung satu semester - sehingga kini hukuman itu telah dijalani tiga minggu - kerana terlibat dalam himpunan Tangkap MO1.

Dia mendakwa polis tidak mendakwanya, namun memberikan bahan bukti kepada pihak universiti untuk digunakan bagi mendakwanya.

[Baca berita penuh]