Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mukhriz dan ketua Cambridge Analytica saling tuding jari
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 9:43 PM
Dikemaskini: 3:26 PM

Ketua kumpulan SCL Group Southeast Asia Azrin Zizal dan bekas majikannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir saling menuduh masing-masing menipu berhubung peranan Cambridge Analytica (CA) di Kedah ketika pilihan raya umum (PRU) 2013.

"Mukhriz kata CA bekerja untuk BN. Ini tidak benar... Nasihat PRU 2013 untuk Kedah diberikan kepada Mukhriz secara peribadi

"CA atau SCL Group tidak pernah bekerja atau dibayar BN atau mana-mana bahagian kerajaan Malaysia," kata Azrin dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Azrin selari dengan kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam yang mendakwa BN atau kerajaan tidak pernah mempunyai kontrak dengan CA.

Mukhriz yang merupakan bekas menteri besar kedah menyifatkan kenyataan PMO 'mengelirukan' dan merupakan percubaan mengalihkan perhatian.

Ketika dihubungi hari ini, Mukhriz berkata beliau tetap mempertahankan kenyataannya.

"Azrin jelas menipu. Dia perlu diingatkan bahawa CA sendiri yang mendakwa di laman web bahawa mereka membantu BN Kedah. Saya tidak pernah mengaku maklum dengan perkara itu," katanya kepada Malaysiakini.

Azrin sebelum ini berkhidmat dengan Mukhriz ketika timbalan presiden BERSATU itu menjadi menteri industri dan perdagangan antarabangsa.

Mukhriz berkata Azrin berhenti bekerja dengannya apabila beliau menjadi menteri besar Kedah pada 2013.

Azrin menafikan perkara ini dan mendakwa dia bekerja dengan Mukhriz sehingga 2015.

"Ini sama sekali tidak benar. Saya kerja untuk Mukriz dan memberikan khidmat nasihat komunikasi dan strategi untuk beliau sehingga 2015, termasuklah PRU 2013, dan setelah itu apabila beliau menjadi menteri besar.

"Saya akan sediakan bukti jika beliau terus menyatakan perkara yang tidak benar.

"Jika Mukhriz terus menafikan kerja saya untuknya dan menafikan manfaat yang diperoleh daripada nasihat yang saya berikan dari CA dan SCL Group untuk kedap pada PRU 2013, adakah beliau juga akan menafikan Kedah menang enam kerusi parlimen tambahan, memenangi negeri dan menjadi menteri besar?" katanya.

Sementara itu Mukhriz berkata beliau tertarik untuk tahu bagaimana Azrin boleh membuktikan dia bekerja untuknya ketika menjadi menteri besar.

CA mendapat perhatian di peringkat antarabangsa selepas dilaporkan menyalahgunakan data peribadi pengguna di Facebook untuk tujuan politik.

Syarikat penganalisis data itu juga didakwa menggunakan taktik memerangkap lawan politik termasuk menghantar orang menawarkan rasuah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS