Noh umum elaun khas untuk anggota bomba
Kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan pemberian elaun khas bulanan kepada lebih 13,500 anggota bomba dan bomba bantuan di seluruh negara.
Menteri KPKT, Datuk Seri Noh Omar berkata, setiap anggota bomba dan bomba bantuan akan menerima elaun sebanyak RM200 sebulan berkuat kuasa pada 1 April depan.
Menurutnya, pemberian elaun khas itu sempena mengenang jasa anggota bomba yang sanggup berkorban nyawa untuk masyarakat.
"Kepada pejuang-pejuang bomba ini, saya sifatkan bomba ini hero yang tidak didendangkan, sanggup berkorban nyawa untuk orang lain", katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Tambah Noh, elaun khas itu merupakan bajet tambahan bagi anggota bomba dan penyelamat di seluruh negara.
Kos elaun khas itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM32 juta setahun bagi anggota bomba manakala RM9.6 juta untuk bomba bantuan.
"Elaun khas ini telah pun diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai satu hadiah yang cukup bersejarah kepada anggota bomba dan bomba bantuan," katanya.

