Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri kesal  bapa laku aktiviti ekstrem bersama anak kecil
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 6:27 AM
Dikemaskini: 10:42 PM

Tindakan ibu bapa melakukan aktiviti ekstrem bersama anak kecil membelakangkan hak perlindungan dan keselamatan seorang kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Rohani menyatakan rasa terperanjat dan kesalnya menyaksikan rakaman video seorang bapa yang sanggup mempertaruhkan nyawa anak sendiri melakukan aktiviti ekstrem terjunan 'rope swing' atau tali hayun ke dalam jeram.

"Ia tidak harus menjadi kebanggaan malah perlu dijauhi bagi memastikan kanak-kanak dilindungi dan dijauhi daripada perbuatan yang membahayakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Satu video tular menunjukkan aksi seorang bapa dan anak perempuannya berusia dua tahun membuat terjunan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, dan di ruangan kapsyen, bapa tersebut mendakwa ia merupakan permintaan anaknya untuk melakukan aktiviti tali hayun.

Dalam video berasingan, seorang lagi bapa turut melakukan aktiviti tersebut bersama anak lelakinya di lokasi sama.

Merujuk kepada kes berkenaan, Rohani berkata si bapa boleh disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas perbuatan mendedahkan anaknya kepada bahaya kecederaan fizikal atau emosi.

"Saya menyeru supaya orang awam melaporkan kes sedemikian kepada pihak berkuasa seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 29A Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau berkata orang awam juga boleh membuat laporan polis supaya siasatan mengenai kes sedemikian dapat dilakukan oleh pihak polis mengikut peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kesedaran dan pelaporan orang awam melalui saluran yang sedia ada boleh mencegah kejadian ini daripada berulang serta keselamatan dan nyawa seorang kanak-kanak yang mempunyai masa depan tidak disia-siakan melalui perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS