BERSATU sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Cambridge Analytica (CA), serta syarikat induknya SCL Group, dan ketuanya bagi rantau Asia Tenggara, Azrin Zizal.

Pengarah strategik BERSATU, Datuk Rais Hussin berkata ini mengenai dakwaan "berita palsu" bahawa timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendapatkan khidmat CA dan SCL Group untuk membantu kempen pilihan raya BN pada 2013 di Kedah.

Rais berkata, pihaknya sedang mengesan berita palsu itu, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakunya, selepas berunding dengan pasukan peguamannya.

Laporan penyiasatan stesen Channel 4 UK menyebut salah seorang eksekutif firma itu mengatakan bahawa negara-negara di mana ia menjalankan operasi pilihan raya termasuk Malaysia.

Menurut laman webnya, CA mendakwa telah membantu BN di Kedah pada pilihan raya umum yang lalu.

Bagaimanapun, PMO pada hari Selasa mmengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan bahawa BN mahupun kerajaan tidak terlibat mendapatkan khidmat firma tersebut dan berkata ia berurusan secara langsung dengan Mukhriz, yang merupakan pengarah pilihan raya BN Kedah pada masa itu.

Ini diulangi oleh Azrin dalam satu kenyataan semalam.

Mukhriz menafikan semua dakwaan itu.

Rais, bagaimanapun, bertanya mengapa PMO mengeluarkan kenyataan terlebih dahulu, sebelum CA atau SCL Group.

"Ia seolah-olah CA dan SCL mungkin rapat dengan PMO," katanya.

Rais juga mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk Najib Razak ada menggunakan daripada sumbangan politik RM2.6 bilion untuk membiayai aktiviti CA.

"Jika ya, katakan ya, jika tidak, katakan tidak," katanya.

Rais kemudian mendakwa bahawa video sudah muncul yang memainkan ketakutan rakyat terhadap pembangkang, sama seperti yang dikatakan diterbitkan oleh CA untuk pilihan raya 2017 di Kenya.

Menurutnya, terdapat video yang mendakwa bahawa DAP mengawal ekonomi, dan sekarang mahu mengawal orang Melayu dan sebagainya.

"Video-video ini mula muncul, dan inilah yang mereka panggil 'deep fear'," katanya.

[Baca berita penuh]