GLOBAL l Ketua Eksekutif Facebook Inc, Mark Zuckerberg berkata pada hari Rabu bahawa syarikatnya membuat kesilapan dalam cara menangani data milik 50 juta pengguna dan menjanjikan langkah-langkah ketat untuk menyekat akses pemaju terhadap maklumat tersebut.

Rangkaian media sosial terbesar di dunia itu sedang berdepan dengan peningkatan penelitian kerajaan di Eropah dan AS berhubung dakwaan pemberi maklumat bahawa Cambridge Analytica, sebuah firma perunding politik yang berpangkalan di London, mengakses maklumat pengguna secara tidak wajar, untuk membina profil pengundi Amerika yang kemudiannya digunakan untuk membantu pemilihan Presiden Donald Trump Pada 2016.

Zuckerberg, dalam komen umum pertamanya sejak skandal itu meletus pada hujung minggu, berkata dalam satu catatan di Facebook bahawa syarikat itu "membuat kesilapan, masih banyak yang perlu dilakukan, dan kita perlu ketatkan lagi kawalan dan melakukannya."

Beliau tidak mengulas lanjut mengenai apa kesilapan itu, tetapi dia berkata rangkaian sosial itu merancang untuk menjalankan siasatan aplikasi pada platformnya, menyekat akses pemaju kepada data, dan memberi ahli-ahli satu alat yang membolehkan mereka lebih mudah melumpuhkan akses kepada data Facebook mereka.

Rancangannya tidak mewakili pengurangan besar kemampuan pengiklan untuk menggunakan data Facebook, yang merupakan nyawa syarikat itu.

Zuckerberg kemudian memberitahu CNN, "Ini adalah pelanggaran besar terhadap kepercayaan. Saya benar-benar kesal ini berlaku. Kita mempunyai tanggungjawab asas untuk melindungi data mereka."

Beliau memberitahu CNN bahawa Facebook komited untuk menghentikan campur tangan dalam pilihan raya separuh penggal AS pada bulan November dan pilihan raya di India dan Brazil.

Zuckerberg berkata beliau terbuka kepada peraturan tambahan kerajaan dan gembira dapat memberi keterangan kepada Kongres AS jika dia orang yang tepat untuk tujuan itu. [Baca berita penuh]

- Reuters