Umno kini terdesak apabila cuba mengalihkan perhatian daripada isu melibatkan firma analisis data, Cambridge Analytica, kata timbalan ketua stratgei Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan bahawa timbalan presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menggunakan khidmat firma berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah kata dia tidak tahu apa-apa mengenai operasi itu.

"Selari dengan apa yang dikatakan syarikat itu sendiri - mereka membantu BN, bukan mana-mana individu," kata Wan Saiful.

Semalam, Ketua kumpulan SCL Group Southeast Asia Azrin Zizal menyanggah kenyataan Mukhriz bahawa CA bekerja untuk BN di Kedah ketika PRU 2013.

"Mukhriz kata CA bekerja untuk BN. Ini tidak benar. Nasihat PRU 2013 untuk Kedah diberikan kepada Mukhriz secara peribadi.

"CA atau SCL Group tidak pernah bekerja atau dibayar BN atau mana-mana bahagian kerajaan Malaysia," kata Azrin dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, Mukhriz pula menafikan kenyataan Azrin dan mengatakan beliau berbohong.

"Azrin jelas menipu. Dia perlu diingatkan bahawa CA sendiri yang mendakwa di laman web bahawa mereka membantu BN Kedah. Saya tidak pernah mengaku maklum dengan perkara itu," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata Umno cuba memanipulasikan isu itu dengan menggunakan kenyataan Azrin selaku wakil firma berkenaan.

"Umno lebih suka percaya kenyataan penafian daripada sebuah syarikat yang dituduh memanipulasi pilihan raya di seluruh dunia menggunakan data yang diperoleh tanpa persetujuan, yang kepimpinannya menggunakan rasuah dan seks sebagai sebahagian daripada model perniagaan mereka.

"Ini jelas menunjukkan jenis orang yang disukai oleh Umno," katanya.

Bercanggah syarikat sendiri

Sementara itu, Wan Saiful menegaskan kenyataan Azrin bahawa CA dan syarikat induknya SCL Group tidak pernah bekerja untuk BN atau kerajaan Malaysia kelihatan bercanggah dengan firma itu sendiri.

"Ia seolah-olah wakil firma itu menuduh dirinya berbohong, bercanggah dengan syarikatnya sendiri, tetapi CA sendiri menyatakan di laman web mereka bahawa 'CA menyokong Barisan Nasional (BN) ...'," katanya

"Ini adalah kerajaan sama yang pada mulanya menafikan RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi sebelum akhirnya memanggilnya derma.

"Ini adalah kerajaan yang sama yang mengatakan seluruh dunia salah dalam 1MDB dan menyatakan bahawa apa-apa yang berbeza dengan mereka adalah berita palsu," katanya.

Wan Saiful juga menyatakan masih tiada jaminan bahawa Umno tidak akan memanipulasi pilihan raya umum yang akan datang.

Cambridge Analytica didakwa menyalahgunakan data peribadi daripada pengguna media sosial untuk kempen dan memanipulasi pilihan raya.

Ketika ditanya Malaysiakini jika SCL Group atau Cambridge Analytica terlibat dengan mana-mana parti politik pada pilihan raya umum akan datang, Azrin enggan mengulas lanjut.