Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kit Siang fail usul tolak laporan 1MDB oleh PAC
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 2:37 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

PARLIMEN l Pemimpin Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini memfailkan usul di Dewan Rakyat untuk menolak laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai siasatan ke atas 1MDB dan menuntut siasatan yang lebih komprehensif.

Lim berkata usul itu perlu disegerakan memandangkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari, semalam memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa apa-apa maklumat berkaitan dengan 1MDB yang tidak disahkan oleh laporan PAC, polis dan peguam negara adalah "berita palsu".

"Ini adalah jawapan paling melucukan dan keterlaluan, dan contoh terbaru di mana menteri dan timbalan menteri berlumba-lumba cuba menjadikan Malaysia sebagai bahan lawak seluruh negara ketika dunia dibanjiri dengan pelbagai berita dan perkembangan isu 1MDB.

"Ini adalah maklumat yang kerajaan Malaysia berusaha keras untuk tutup,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Lim berkata terdapat banyak perkembangan sejak laporan PAC disiapkan pada April 2016, dan oleh itu, PAC perlu menyiasat 1MDB semula berdasarkan bukti-bukti baru berkenaan.

Beliau juga berkata bahawa Parlimen tidak pernah menerima laporan PAC kerana ia hanya dibentangkan tetapi tidak dibahaskan.

Lim berkata beliau berharap kerajaan akan mengiktiraf keperluan menyegerakan perkara itu dan membenarkan usulnya dibahaskan secepat mungkin.

Pada 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan PAC dan Ketua Audit Negara untuk memulakan siasatan ke atas 1MDB dan berjanji bahawa laporan siasatan berkenaan akan diumumkan.

Bagaimanapun, hanya laporan PAC diumumkan manakala laporan audit diklasifikasikan di bawah akta rahsia rasmi.

PAC mendapati pelbagai penyelewengan dalam 1MDB, seperti pemindahan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, penyingkiran juruaudit dan pemindahan AS$1 bilion kepada syarikat "palsu" Aabar Investments PJS anak syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC).

Anggota pembangkang dalam PAC juga mengesahkan bahawa beberapa maklumat penting dikeluarkan daripada laporan akhir jawatankuasa itu.

Bukti baru timbul pada tahun 2016, susulan siasatan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dan beberapa kes di mahkamah di Singapura yang mendapati bank-bank yang berurusan berkaitan 1MDB bersalah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS