Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dusuki 'mengadap' JAIS, anak murid bersolidariti

Pemimpin PAS Selangor yang digantung tauliah Ahmad Dusuki Abd Rani hari ini 'mengadap' Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di pejabatnya di Shah Alam.

Dusuki ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pertemuan itu tetapi enggan mengulas butiran lanjut.

“Saya tak nak ulas lagilah, lagi-lagi dengan Malaysiakini.

"Minta maaflah,” katanya dengan nada lembut.

Seperti semalam, Dusuki berkata akan memaklumkan perkembangan lanjut di Facebook beliau.

Gambar beliau di pejabat itu telah dimuat naik ke media sosial itu.



Dusuki yang berkopiah dan berkemaja putih itu diiringi beberapa orang lagi dalam pertemuan itu.

Sumber semalam memberitahu Malaysiakini bahawa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggantung sementara tauliah mengajar dan berceramah Dusuki selepas terpalit kontroversi mendoakan kehancuran "pakatan yang jahat".

Sepucuk surat dikatakan daripada Mais kepada Dusuki mula beredar di Internet selepas dimuat naik ke Facebook oleh pegawai penerangan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin petang semalam.

Dusuki selepas solat hajat sempena 10 tahun PAS dalam kerajaan Selangor di Shah Alam pada 18 Mac lalu antara lain berdoa menyamakan pertempuran PAS dan parti lain pada pilihan raya umum akan datang seperti Perang Ahzab.


Baca: Teks penuh doa PAS Selangor hancurkan 'pakatan jahat'


Peperangan Ahzab atau Perang Khandak merupakan peperangan antara tentera kafir di sekitar tanah Arab yang berkumpul untuk memerangi Nabi Muhammad yang ketika itu berada di Madinah.

Turut disebut tentang balasan terhadap "golongan yang melarikan kerusi" PAS dan Selangor yang "dijajah dengan suasana yang tidak (bukan) cara agama".

Selepas kritikan, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu itu tidak patut timbul atau dimanipulasikan kerana ia dibuat untuk mengharapkan kemenangan parti itu, serta mengalahkan musuhnya.

Mais dan Jais ketika dihubungi semalam enggan mengulas isu itu.

Bersalaman, berpelukan

Sementara itu, anak-anak murid Dusuki kini melancarkan kempen solidariti dengan guru mereka itu di Internet.

Selain memuat naik "banner" yang menyebut mereka berdiri teguh bersama Dusuki dalam “memperjuangkan Islam di bumi Malaysia”.

Turut dimuat naik gambar Dusuki bertemu anak-anak muridnya dalam sebuah masjid yang menyaksikan mereka berpelukan dan bersalaman.

Ada juga yang mengucapkan terima kasih kepada guru kesayangan mereka itu.

Lihat Komen
ADS