mk-logo
Berita
Apa salah berat Mazlan Aliman, soal HARAPAN
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 3:00 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor mengecam tangkapan terhadap anggota majlis tertinggi Parti Amanah Negara (AMANAH), Mazlan Aliman di rumahnya di Felda Sungai Ramun, Kulai Johor jam 1.53 pagi tadi.

Menurutnya, polis sepatutnya boleh meminta Mazlan hadir ke ibu pejabat untuk mengambil keterangan tanpa melakukan tangkapan di awal pagi.

"HARAPAN Johor juga mengecam tindakan pihak polis yang berkeras menahan Mazlan pada waktu yang amat tidak munasabah sehingga menimbulkan tanda tanya, kesalahan berat apakah yang telah dilakukan oleh beliau?" soal kenyataan pemimpin HARAPAN Johor yang diketuai pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu HARAPAN Johor berkata pihaknya dimaklumkan tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh peguam kepada isteri perdana menteri, NoorHajran Mohd Noor Isnin lalu.

"HARAPAN Johor mengesyaki penangkapan Mazlan ini bermotif politik.

"Kami berpendapat, sebarang persoalan mengaitkan isu politik yang timbul mestilah diselesaikan dengan hujah dan fakta. Bukan mengekang dengan kuasa.

Menyifatkan tangkapan itu suatu kezaliman terhadap anak, isteri dan keluarga Mazlan, HARAPAN Johor berkata pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) itu merupakan aktivis akar umbi yang banyak memperjuangkan nasib peneroka Felda.

"Dalam kemelut politik yang menyaksikan isu Felda begitu meruncing pada ketika ini, penangkapan Mazlan hanyalah akan menambah kebencian rakyat terhadap Rosmah, Najib dan Barisan Nasional," jelasnya.

Sehubungan itu HARAPAN Johor mendesak Mazlan dibebaskan segera dan pada masa sama akan meggerakkan sokongan rakyat bagi mengecam tindakan yang disifatkan zalim dan tidak adil ke atas Mazlan.

Terdahulu, Mazlan ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada jam 1.35 pagi tadi di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Isnin lalu, peguam Rosmah, NoorHajran Mohd Noor membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Beliau mendakwa Mazlan dalam ucapan video di Youtube menuduh anak guamnnya terlibat dalam beberapa projek yang dirancang dan dilaksanakan oleh Felda.

NoorHajran juga mendakwa video itu telah merosakkan reputasi dan integriti anak guamnya.

Lihat Komen
ADS