Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HARAPAN lancar kempen tolak GST 1 April
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 5:49 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) akan melancarkan kempen anti-cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April.

Kempen bertemakan "Rakyat Tolak GST" bersempena ulang tahun ketiga cukai itu diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kita semua akan mengalakkan rakyat biasa post resit beli belah di FB, Twitter dan Instagram sebagai tanda protes GST dengan memakai hashtag #RakyatTolakGST #PeoplevsGST, mulai sekarang," kata Majlis Presiden HARAPAN dalam satu kenyataan pada petang ini.

Berikutan itu, majlis tertinggi HARAPAN itu turut menggesa para pemimpin, aktivis dan calon pilihan raya menganjurkan aktiviti di kawasan masing-masing.

Antara program yang dirancang ialah kempen di media sosial, flashmob, ceramah dan aktiviti kreatif lain.

Semalam, pengerusi HARAPAN yang juga bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia suatu ketika dahulu pernah menyaksikan pembangunan tanpa perlu melaksanakan GST.

Beliau juga berkata GST meningkatkan kos sara hidup dan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Sudah tentu kos sara hidup akan turun jika GST dihapuskan," katanya.

Menurut Mahathir, pemansuhan GST yang dirancang HARAPAN tidak akan menjejaskan pentadbiran dan pembangunan negara.

"Jika hari ini GST diperlukan sebabnya ialah kerana banyak wang kerajaan disalah guna dan dibazirkan. Salah guna ini menjadi begitu besar menjelang PRU14," katanya.

Menjawab kenyataan berkenaan, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To mendakwa ketika era Mahathir, Malaysia tidak memerlukan GST kerana mempunyai sumber dana lain, yang tidak lagi wujud sekarang.

Lihat Komen
ADS