Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LTAT bayar bonus dan dividen pada kadar 12.5 peratus
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 4:11 PM

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pembayaran dividen dan bonus pada kadar 12.5 peratus kepada ahli yang layak mulai esok.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata pembayaran itu membabitkan jumlah keseluruhan RM686.8 juta.

“Bayaran dividen dan bonus ini meliputi enam peratus dividen dan 6.5 peratus bonus khas berbentuk unit amanah saham yang akan diberi secara percuma kepada para pencarum yang aktif.

“Dividen dan bonus ini akan mula dikreditkan dalam akaun ahli-ahli yang mencarum bermula esok,” katanya dalam sidang media Program Jualan Sentuhan Rakyat di Dewan Seroja, Kem Kementah di ibunegara hari ini.

Beliau turut mengumumkan LTAT mencatatkan pendapatan bersih berjumlah RM667.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, meningkat 12.1 peratus atau RM72.1 juta berbanding RM595 juta pada 2016.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, berkata kadar yang diisytiharkan kali ini lebih tinggi berbanding purata kadar dividen dan bonus semenjak LTAT ditubuhkan pada 1972 iaitu sebanyak 11.3 peratus.

Beliau berkata aset LTAT setakat 31 Disember tahun lepas bernilai RM10 bilion, meningkat 4.2 peratus iaitu RM0.4 bilion berbanding RM9.6 bilion pada 2016.

“Sehingga kini, LTAT dan syarikat kumpulannya serta Yayasan LTAT telah membiayai pelbagai program biasiswa dan kebajikan lain melibatkan lebih 134,600 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih berkhidmat, veteran ATM serta ahli keluarga mereka yang layak dengan kos RM416.1 juta,” katanya.

Hishammuddin berkata melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera pula, LTAT berjaya melatih 8,171 anggota ATM yang akan dan telah bersara dalam pelbagai bidang kemahiran dengan peruntukan geran kerajaan berjumlah RM27 juta pada tahun lepas.

Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini,  LTAT berkata jumlah dividen dan bonus itu berikutan keuntungan tertinggi yang dicatat pada FY17 di mana ia telah meningkat 12.1 peratus dalam keuntungan bersih tidak diaudit sebanyak RM667.1 juta berbanding RM595 juta pada tahun sebelumnya.

Selaras dengan keuntungannya yang bertambah baik, LTAT berkata, ia telah mengumumkan kenaikan dividen bagi tahun itu, yang lebih tinggi daripada purata dividen tahunan dan bonus yang dibayar sejak penubuhan dana tersebut 45 tahun lalu sebanyak 11.3 peratus setahun.

LTAT berkata, jumlah asetnya meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada RM10 bilion berbanding RM9.6 bilion tahun lepas dengan sumbangan ahli turut meningkat kepada RM8.8 bilion berbanding RM8.6 bilion yang dicatatkan pada FY16.

Lembaga itu berkata, ia telah memproses 8,139 permohonan pengeluaran daripada anggotanya pada 2017, setelah tamat perkhidmatan mereka dengan angkatan tentera yang berjumlah RM1.2 bilion.

Menurutnya, 2,401 anggota yang layak membeli rumah atau tanah dibayar RM20.1 juta sebagai sebahagian daripada Skim Pengeluaran Perumahan manakala sebagai sebahagian daripada Skim Faedah Kematian dan Kecacatan, RM6 juta telah dibayar kepada 183 ahli atau waris mereka.

Sebagai sebahagian daripada program transformasi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia, LTAT berkata, ia terus membantu anggota tentera menangani peningkatan kos sara hidup melalui penyediaan pelbagai barangan pengguna di bawah harga pasaran.

"Setakat ini, sebanyak 50 kategori produk boleh didapati melalui program ini, di mana RM10.9 juta dibelanjakan sebagai subsidi pada 2017," katanya.

Lembaga itu berkata, ia juga telah menyumbang RM416.1 juta untuk membiayai program biasiswa dan kebajikan bagi manfaat lebih daripada 134,600 anggota tentera berkhidmat dan bersara yang layak serta keluarga mereka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS