Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tangguh lihat sempadan baru, cubaan kekang saman SPR'
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 6:11 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

PARLIMEN | Timbul persoalan jika Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sengaja mengeluarkan perintah larangan menangguhkan MP melihat isi kandungan laporan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengekang beberapa saman terhadap badan itu di mahkamah.

Anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata mahkamah akan mendengar suatu kes difailkan Ivy Josiah dan tiga yang lain pada 23 Mac ini, manakala satu lagi saman oleh aktivis Maria Chin Abdullah dan 107 yang lain akan didengar pada 28 Mac depan, tarikh akhir embargo tersebut.

"Jika kandungan persempadanan semula masih ditangguhkan sehingga 28 Mac ini, maka pihak perayu dalam kedua-dua kes ini tidak akan boleh merujuk laporan sempadan baru SPR dalam kes mahkamah mereka.

"Hal ini menimbulkan tanda tanya jika terdapat kemungkinan speaker Dewan Rakyat, SPR dan Pejabat Perdana Menteri berkerja sama untuk meluluskan persempadanan baru pilihan raya yang tidak adil dan tidak demokratik ini supaya BN mendapat manfaat kelebihan dalam pilihan raya akan datang," kata beliau dalam suatu kenyataan media hari ini.

Kedua-dua saman tersebut berkait dengan rakyat Selangor yang memfailkan bantahan terhadap syor persempadanan semula tetapi tidak dipanggil untuk membentangkan kes mereka semasa siasatan tempatan SPR diadakan.

Mereka berhujah ia pelanggaran terhadap peruntukan jadual ketiga belas Perlembagaan Persekutuan.

Pandikar membuat perintah luar biasa hari ini dengan tidak membenarkan para anggota parlimen membaca laporan persempadanan baru SPR yang telah pun diletakkan di atas meja MP di dewan rakyat dan mengarahkan perintah penangguhan itu akan berakhir pada 28 Mac ini.

"Hal ini tidak pernah terjadi dalam sejarah parlimen Malaysia yang mana dokumen rasmi yang telah pun diletakkan di atas meja ditangguhkan selama enam hari," kata Ong.

Justeru itu, Ong menggesa Pandikar untuk menarik semula perintah larangan tersebut bagi membolehkan orang ramai, MP dan pihak media meneliti dan menilai sendiri laporan persempadadan baru SPR itu.

Lihat Komen
ADS