Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan menafikan cubaan menghalang pengundi luar daripada pulang mengundi seperti didakwa PAS.

Pengerusi AMANAH negeri, Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, beliau sendiri tidak pasti apa motif tuduhan tersebut.

"Itu tidak betul, sedangkan kita sudah banyak kali mengadakan program bersama perantauan," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa AMANAH cuba mensabotaj PAS dengan menghalang pengundi luar pulang mengundi di Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, perkara itu bagaimanapun tidak berlaku selagi PAS berada di negeri itu.

"Memang ada (cubaan sabotaj PAS) oleh AMANAH kerana ini matlamat sebenar mereka untuk bertanding di Kelantan.

"Mereka cuba menarik pengundi luar dengan berkempen supaya mereka tidak pulang ke Kelantan untuk mengundi," katanya seperti dipetik BH Online.

Sementara itu Wan Abd Rahim menegaskan pihaknya sentiasa melakukan inisiatif untuk mengajak perantau pulang mengundi.

Malah pada 30 Mac ini katanya, AMANAH akan mengadakan program terakhir di Kuala Lumpur bersama golongan tersebut.

"Sebab kita juga kesan pengundi luar ini bersama kita untuk sama-sama melakukan perubahan," katanya.

Lihat Komen
ADS