Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tengku Abdullah bimbang kejadian cerun runtuh
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 6:26 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta Kementerian Kerja Raya mengkaji semula struktur jalan Sungai Koyan ke Cameron Highlands yang cerunnya runtuh di beberapa kawasan baru-baru ini.

Baginda bertitah kajian itu perlu dilakukan untuk mengelak kejadian tidak diingini yang membahayakan keselamatan pengguna jalan tersebut.

“Saya ingin menzahirkan kebimbangan tentang Jalan Sungai Koyan berhampiran Lembah Bertam yang dilawati baru-baru ini kerana berlaku kejadian cerun runtuh. Saya rasa sudah sampai masanya pihak kementerian kaji semula seluruh jalan itu ke Genting Highlands.

“Kalau kita tunggu untuk jalan itu runtuh pada masa akan datang mungkin kos baiki masa depan akan berganda. Namun, jika adakan satu kajian yang terperinci sekarang dan baik pulih segera dilakukan, ia dapat mengurangkan kurangkan kos khususnya dalam soal penambahbaikan dan penyelenggaraan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada projek membaik pulih jalan menggunakan kaedah ‘Cold-in-Place Recycling’ (CIPR) di Jalan Teluk Ganchong Lepar di Pekan, Pahang hari ini. Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kaji semula selekoh bahaya

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Tengku Abdullah berharap kementerian mengambil serius perkara itu kerana jalan raya berkenaan digunakan untuk ke Cameron Highlands, Gua Musang dan Perak serta bakal menjadi jalan raya yang sibuk pada masa akan datang.

Baginda juga bertitah bahawa berdasarkan pemerhatiannya, beberapa selekoh bahaya di Jalan Ringlet-Cameron Highlands perlu dikaji semula kerana didapati membahayakan pengguna jalan raya terutama berhampiran dengan kawasan Air Terjun Lata Iskandar.

Dalam pada itu, baginda memuji langkah kerajaan membaik pulih Jalan Teluk Ganchong Lepar dengan menggunakan kaedah CIPR yang disifatkan lebih mesra alam dan murah berbanding kaedah konvensional.

Kaedah itu mengitar semula beberapa lapisan permukaan jalan berturap sedia ada dengan penambahan agen penstabil bagi membentuk lapisan jalan asas yang kuat.

CIPR sesuai digunakan untuk membaipulih jalan yang mengalami kerosakan struktur seperti keretakan serius dan dapat menjimatkan kos sebanyak 30 peratus berbanding kaedah konvensional selain memberi jangka ketahanan yang lebih lama.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS