Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua penyelam SAR berjaya masuk ke dalam kapal korek
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 6:54 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Dua penyelam pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya memasuki kapal korek pasir JBB Rong Chang 8, pada jam 4.30 petang tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Datuk Abu Bakar Idris berkata langkah membawa masuk penyelam menerusi pintu belakang bilik enjin kapal itu dilakukan setelah pasukan SAR berjaya membawa kapal tersebut ke kawasan cetek terletak kira-kira tiga batu nautika dari darat.

“Kita juga meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kapal bagi tujuan pengawasan dan akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sehingga berjaya membawa keluar kesemua mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi Pos Kawalan SAR Pantai Leka dekat Muar hari ini.

Semalam, pasukan SAR menemukan empat anak kapal warga China dengan seorang daripadanya meninggal dunia dan dipercayai terdapat 14 kru masih terperangkap dalam kapal tersebut.

Abu Bakar berkata pihaknya belum dapat mengenal pasti jumlah mangsa yang masih hidup, namun akan berusaha untuk mengeluarkan kesemua mangsa secepat mungkin.

Beliau berkata pihaknya juga memasukkan udara ke dalam kapal berkenaan menerusi ‘air compressor’.

Katanya ketika kerja-kerja pengalihan kapal, tiang kapal tersebut patah dan pihaknya tidak perlu lagi memotong tiang itu bagi menstabilkan kapal terbabit.

“Kita akan meneruskan operasi sehingga semua mangsa berjaya dikeluarkan dan semua aset serta anggota yang terlibat dalam operasi ini diletakkan dalam keadaan bersedia,” katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS